Musa Aman Yang Dipertua Negeri Sabah

KUALA LUMPUR 17 Dis – Ketua Menteri Sabah paling lama (2003-2018) Musa Aman dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11, menggantikan, Juhar Mahiruddin yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan Surat Cara Pelantikan kepada Musa yang turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.

Musa, 73, adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga yang pernah memimpin UMNO Sabah.

Juhar akan tamat tempoh perkhidmatannya selama empat penggal selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011, menjadikannya individu paling lama berkhidmat setakat ini.

Pada 23 Disember 2022, Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Lantikan penggal keempat itu berkuatkuasa dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024, sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun.

Ia selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sabah yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Warisan pada 2018 berhubung tempoh penggal perkhidmatan Yang Dipertua Negeri.

Sebelum 2018, seseorang yang dilantikke jawatan itu bagi negeri Sabah hanya dibolehkan berkhidmat sehingga dua penggal atau lapan tahun, namun dengan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri, tiada lagi had tempoh ditetapkan.

Juhar juga boleh dilantik semula selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada akhir tahun ini, kecuali beliau membuat keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan.

Sebelum ini, selain Musa, beberapa nama turut dicadang termasuk bekas Ketua Menteri, Joseph Pairin Kitingan; bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Pandikar Amin Mulia dan bekas Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum.

Related posts

Leave a Comment