SEPANG 17 Dis. – Lapan puluh jemaah umrah di bawah Program Menelusuri Sirah & Umrah Andalusia Travel bersama Duta Wexpress, Alif Satar berlepas dari KLIA ke Madinah pukul 5 pagi ini.
Perjalanan jemaah umrah kali ini bukan sekadar menunaikan ibadah umrah tetapi juga menelusuri sirah Rasulullah SAW dan menghayati Tamadun Islam.
Program 12 hari 10 malam itu bermula hari ini, sehingga 28 Disember, yang turut melibatkan aktiviti pelancongan menarik di Madinah, Jeddah dan Riyadh.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, hadir mengucapkan selamat berangkat kepada jemaah.
Bagi menjayakan program ini, Andalusia juga mendapat kerjasama Saudi Tourism Authority (STA) serta beberapa organisasi lain seperti kereta api laju SSTPC.
Perjalanan mereka bermula di Madinah sebelum meneruskan langkah ke destinasi penuh sejarah iaitu Khaybar – Jejak perjuangan dan kisah para sahabat; Al-Ula – Keindahan alam yang menyimpan khazanah silam.
Di samping itu Jeddah Safari – Pengalaman desert adventure yang takkan dilupakan dan ke Riyadh – Ibu kota moden Arab Saudi yang penuh tarikan.
Antara program yang disusun termasuk Geng Subuh Macam Jumaat, berkhemah pada waktu malam di padang pasir dan Fun Walk & Run sejauh 4 kilometer dari Masjid Nabawi ke Masjid Quba.
Jemaah akan melalui jalan-jalan yang pernah dilalui Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah dan juga tempat-tempat bersejarah lain.
Nnn
