Kelonggaran pelitup muka 15 Jun

BANGKOK 24 Mei – Pemakaian pelitup muka hanya akan diwajibkan kepada individu yang berpenyakit, warga emas dan wanita hamil berikutan kelonggaran yang akan berkuat kuasa pada pertengahan bulan Jun ini.

Menurut Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Dr Kiattiphum Wongrajit, pelitup muka bagaimanapun masih dikenakan kepada orang ramai di tempat tertutup dan sesak.

Katanya, berikutan keadaan Covid-19 yang semakin pulih dengan lebih cepat daripada jangkaan, penyakit itu akan menjadi endemik seperti yang dirancang Kementerian Kesihatan Awam mulai 1 Julai ini.

Beliau berkata, pegawai kesihatan tempatan akan menawarkan nasihat kepada orang ramai tentang cara hidup selamat dengan Covid-19.

Thailand mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam pada awal tahun lalu bagi membendung penularan pandemik dan juga mengenakan denda bagi yang melanggar peraturan itu.

Sementara itu, Thailand merekodkan 4,144 kes baharu yang merangkumi satu kes import dan 4,143 kes jangkitan tempatan menjadikan jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 4,419,737 kes.

Sebanyak 36 kematian dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 29,811 orang.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 7,235 pesakit dilaporkan sembuh yang menjadikan jumlah keseluruhan 4,342,047 pesakit pulih.

Related posts

Leave a Comment