KUALA LUMPUR 12 Dis. – Ahli Parlimen Pasir Gudang (PH) Hassan Abdul Karim tidak bersetuju dengan syor supaya laporan polis dibuat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Batu Puteh.
Beliau merujuk syor yang dikemukakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
“Bila disyorkan buat laporan polis, ambil tindakan jenayah kepada Tun Dr Mahathir yang telah berusia hampir 100 tahun, keluar masuk IJN (Institut Jantung Negara), sanggupkah kita buat ini kepada bekas Perdana Menteri kita?
“Tan Sri (Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul) pun tahu saya bukan pentaksub Dr Mahathir. Saya adalah pengkritik tegar Tun Mahathir sejak saya muda lagi, tetapi hendaklah kita berlaku adil.
Kita bukan kalah semua. Kita kalah Batu Puteh tetapi kedaulatan Batuan Tengah berpihak kepada Malaysia,” katanya ketika membahaskan laporan RCI itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Hassan turut mempersoalkan sama ada negara boleh memperoleh semula Batu Puteh jika Dr Mahathir dihukum.
“Saya nak tanya, kalau Tun Dr Mahathir diheret ke balai polis, dibawa ke mahkamah, didapati bersalah, hukuman bawah Seksyen 415B ini penjara sampai lima tahun.
“Kalau kita hukum Tun Dr Mahathir, adakah kita boleh dapat semula Pulau Batu Puteh yang telah terlepas itu?” katanya.
Beliau juga mengingatkan Ahli Parlimen, termasuk Menteri yang ada kini, mengenai jasa dan pengorbanan Dr Mahathir.
“Cukup cukuplah. Takkanlah langsung Tun Dr Mahathir tidak ada jasa kepada negara kita? Ramai menteri yang ada di sini, pejabat mereka di Putrajaya. Siapa yang bina?
“Selepas kita bersidang petang ini, ada yang balik sampai ke Kangar, ada yang balik ke Johor Bahru… siapa yang bina lebuh raya itu?
“Bila kita keluar daripada Parlimen ini, hari gelap kita tengok bangunan apa bercahaya, berseri-seri terkenal seluruh dunia. Siapa yang bina itu semua? Katakanlah itu semua tidak penting,” katanya.
Beliau tetap menghargai jasa Dr Mahathir walaupun menjadi pengkritik tegar sambil menarik perhatian Dewan Rakyat mengenai peranan bekas Perdana Menteri itu yang menegakkan kuasa rakyat melalui demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan.