‘Dokumen cacat, tidak sempurna’

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Jemaah Menteri bersetuju supaya permohonan semakan dan permohonan tafsiran keputusan kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks serta South Ledge (Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan) oleh Malaysia di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak diteruskan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN),  Takiyuddin Hassan, mendakwa perkara tersebut terkandung dalam dokumen berupa salinan minit mesyuarat bertarikh 23 Mac 2018 berhubung keputusan Jemaah Menteri mengenai kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mendakwa, beliau menerima dokumen tersebut beberapa hari lalu tetapi tidak pasti siapa yang menghantar minit mesyuarat itu ke pejabatnya.

Selepas meneliti dokumen terbabit, beliau mendapati ia menyatakan kehadiran Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, bersama 13 menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri bagi memutuskan perkara itu pada Mei 2018.

“Dokumen ini bertajuk Minit Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu, 23 Mei 2018, diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Kehadiran Tun Dr Mahathir dan 13 menteri Kabinet pada masa itu… dalam keputusan walaupun ia agenda Hal-hal Lain.

Dalam keputusan A, Jemaah Menteri mengambil maklum beberapa perkara. Itu tidak penting. B, Jemaah Menteri bersetuju supaya permohonan semakan dan permohonan tafsiran keputusan kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks serta South Ledge (Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan) oleh Malaysia di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak diteruskan. Ini keputusan Kabinet.

“Beberapa ahli Kabinet ada dalam masa ini. Ipoh Barat ada… ramai lagi yang ada menteri masa itu. Ini adalah untuk membuktikan sebaliknya.

“Bagi saya, ini adalah satu minit mesyuarat Kabinet yang telah diputuskan pada 23 Mei 2018 sehingga tidak dinafikan, sebaliknya ini adalah dokumen sah daripada hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin turut mendakwa terdapat surat daripada Prof Malcolm Shaw, iaitu seorang peguam antarabangsa yang dilantik untuk menasihati kerajaan ketika itu, kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada masa itu.

Beliau mendakwa bahawa pakar undang-undang yang dilantik kerajaan bagi menganggotai pasukan petugas khas ketika itu, ada menyimpulkan bahawa peluang untuk menang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tipis.

“Dalam laporan RCI ini juga telah disenaraikan begitu banyak dokumen. (Dalam) berapa puluh senarai dokumen, ekshibit yang ada dalam muka surat sebagainya tidak dibekalkan kepada kita,” katanya.

Takiyuddin turut mempersoalkan mengenai 47 muka surat dalam laporan itu dipadamkan, sekali gus menyifatkan ia sebagai dokumen yang cacat kerana tidak sempurna.

“Ia adalah satu dokumen cacat yang tidak sempurna serta tidak memberikan maklumat sepenuhnya kepada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara ini demi kepentingan negara.

“Jadi, ini adalah satu petanda bahawa laporan ini merupakan satu laporan yang kita rasa ragu dan mungkin ia mempunyai satu niat buruk terhadap individu tertentu yang menjadi sasaran pihak berkuasa sekarang ini,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment