38.8 peratus wanita pembuat keputusan

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Jumlah wanita yang memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam kini mencapai 38.8 peratus, manakaka ssaran 30 peratus dalam sektor swasta dan korporat masih belum dicapai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata, perkara itu antara isu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Negara (MWKN) yang julung kali diadakan pada tahun ini.

Mesyuarat itu juga menumpukan aspek dan inisiatif dalam menggalakkan golongan wanita untuk kembali bekerja bagi menjayakan sasaran 60 peratus penyertaan tenaga kerja kaum hawa dalam pasaran tenaga buruh yang digariskan oleh Kerangka Ekonomi Madani.

Katanya , berbanding dengan Singapura, golongan wanita yang bekerja adalah lebih 70 peratus.

“Kita mahu mencapai tahap yang tinggi tetapi kita perlu memberi sokongan dalam serba-serbi terutama sekali gaji,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini semalam l

Nancy berkata mesyuarat itu turut membincangkan pandangan dan cadangan mengenai pelaksanaan inisiatif pelanjutan pengecualian cukai bagi wanita yang kembali bekerja hingga 31 Dis 2027 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Ini termasuk cadangan had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak yang diterima oleh pekerja atau dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak yang dinaikkan kepada RM3,000.

Beliau berkata sebagai langkah menggalakkan wanita kembali bekerja, kementerian juga melaksanakan reformasi dari sudut undang-undang melalui Akta Antigangguan Seksual 2022 bagi melindungi golongan itu seterusnya dapat memberi keyakinan diri kepada mereka untuk kembali bekerja.

Mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan 2022-2025 di Peringkat Negeri oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

MWKN, yang ditubuhkan awal tahun ini, berfungsi sebagai platform untuk semua pihak berkepentingan meliputi agensi Kerajaan Persekutuan, wakil sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan memberikan pandangan serta idea bagi memperkasa wanita selain mengukuhkan institusi keluarga secara lebih meluas dan komprehensif.

Related posts

Leave a Comment