KUALA LUMPUR 11 Dis. – Bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein mengulangi pendiriannya untuk tidak merayu keputusan penggantungan keahliannya selama enam tahun bermula 27 Januari tahun lalu .
Ketika ditemui di Dewan Rakyat, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan beliau tidak akan mengemukakan rayuan atas alasan sehingga ke hari ini tidak tahu punca penggantungannya selama enam tahun.
Sebelum ini Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaannya untuk kembali membuka ruang kepada bekas pemimpin UMNO yang sebelum ini berdepan tindakan disiplin.
Ia susulan penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun ditarik balik selepas menghantar empat kali surat rayuan untuk kembali bersama parti.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, jika Tajuddin boleh diterima kembali, beliau tidak nampak sebarang masalah jika ahli MKT dapat melakukan keputusan sama terhadap bekas pemimpin UMNO lain yang turut berdepan tindakan disiplin.
Pada Februari tahun lalu, Hishammuddin mengulangi pendiriannya tidak akan merayu penggantungan keahliannya dalam parti disebabkan beberapa faktor walaupun ada cadangan daripada UMNO Johor supaya beliau membuat rayuan.
Beliau enggan merayu kerana tidak tahu sebab keahliannya digantung, penggantungan tidak mengikut proses atau prosedur, dan penggantungan itu seolah-olah dianggap sudah bersalah.
“Kalau kita rayu macam kita ini bersalah,”:katanya.
Berdasarkan surat rasmi diterima Hishammuddin, beliau digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
Selain Hishammuddin, turut digantung hak-hak dalam parti selama enam tahun adalah Maulizan Bujang (Ketua UMNO Bahagian Tebrau), Mohd Salim Sharif (Ketua UMNO Jempol) dan Shahril Sufian Hamdan (bekas Ketua Penerangan UMNO ).
Manakala Tajuddin bersama Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail digantung keahlian parti selama enam tahun pada Oktober 2022.
Nnn…..
