KUALA LUMPUR 29 Nov. – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa meminta semua pihak termasuk ahli politik menghentikan polemik berhubung tindakan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda premis perniagaan.
Katanya, Malaysia mengamalkan prinsip keluhuran undang-undang dan peraturan yang dikuat kuasa untuk memastikan keadilan serta keharmonian dalam masyarakat terjamin dan semua pihak tanpa mengira latar belakang, perlu untuk mematuhi undang-undang dan peraturan berkenaan.
Dalam kenyataannya, beliau menegaskan, DBKL melalui Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan perlu diutamakan pada papan tanda premis.
“Huruf-huruf dan perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada huruf-huruf atau tulisan perkataan dalam bahasa lain,” katanya
Beliau berkata, papan tanda juga perlu mendapatkan pengesahan visual dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu sebagai dokumen wajib untuk memohon kelulusan DBKL.
“Tindakan penguatkuasaan oleh DBKL ini dalam pengetahuan saya selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan. Keputusan ini konsisten dengan pendekatan yang diambil sejak isu Jalan Silang sebagai Mini Dhaka berbangkit lagi,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun 2024, sebanyak 13 operasi, 264 notis dikeluarkan dan 36 premis diambil tindakan berhubung isu papan tanda premis ini.
“Antara kesalahan yang dikenakan tindakan ialah penggunaan papan tanda yang tidak mendapat permit dari DBKL atau papan tanda yang dipaparkan tidak mengikut kelulusan permit yang diberikan.
Notis juga diberikan dalam tempoh yang munasabah kepada pemilik premis untuk mengambil tindakan sebelum penguatkuasaan dibuat.
“Ingin ditegaskan, penguatkuasaan ini tugasan rutin DBKL yang sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi,” katanya.
Beliau menegaskan, penguatkuasaan yang dilakukan bukan atas desakan mana-mana pihak atau individu, tetapi atas dasar memastikan peraturan yang berkuat kuasa dipatuhi.
Justeru Dr Zaliha meminta semua pihak, menghentikan polemik ini kerana banyak agenda penting untuk diberi perhatian bukannya bermain dengan sentimen perkauman seperti ini yang hanya akan mewujudkan polarisasi yang memecahbelahkan rakyat.
“Menjelang Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, kita perlu bersama-sama mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan sebagai imej negara. Kuala Lumpur, sebagai pintu masuk utama negara seharusnya mencerminkan identiti nasional yang menonojolkan bahasa kebangsaan kita dengan jelas dan bangga,” katanya.
