KUALA LUMPUR 24 Nov. – Menteri Pelancongan, Tiong King Sing mendakwa tibdakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan peraturan papan tanda dwibahasa mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Katanya, tingkah laku melampau sebegitu bukan sahaja menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia tetapi juga ada pelawat antarabangsa bertanya, ‘adakah Malaysia sebuah negara yang rasis atau ekstrem agama?
“Keraguan ini secara langsung mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada global.
Realitinya, kita adalah negara berbilang kaum, budaya dan agama. Kita tidak boleh mencipta imej negatif palsu yang bercanggah dengan realiti ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Khamis lalu, DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Operasi itu membabitkan pasukan penguatkuasaan dan pelesenan DBKL, bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pihak polis.
Sehubungan itu, King Sing menggesa DBKL memberi tumpuan kepada inisiatif yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat daripada mencetuskan kontroversi melalui penguatkuasaan yang melampau.
“Saya mencadangkan DBKL bekerjasama dengan kempen Tahun Melawat Malaysia untuk menambah baik infrastruktur asas bandaraya dan mewujudkan lebih banyak tarikan untuk pelancong, menawarkan mereka pengalaman baru dan menarik untuk diterikai di Kuala Lumpur.
“Daripada menampakkan imej autoritarian dan terkebelakang, DBKL seharusnya menjiwai semangat ketamadunan dan keterbukaan ibu kota,” katanya.
Langkah itu kata beliau wajar dilakukan memandangkan tahun depan Malaysia akan mempengerusikan ASEAN, dengan pelbagai penganjuran acara akan diadakan di ibu negara, selain kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Ini memberikan peluang keemasan untuk mempamerkan kepelbagaian dan keterangkuman Malaysia di pentas global,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa kontroversi perkauman atau agama yang berterusan akan menghakis kepercayaan dan kerjasama antarabangsa, berpotensi memberi impak negatif terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 pula berfungsi sebagai platform penting untuk menyerlahkan identiti berbilang budaya Malaysia. Inisiatif seperti papan tanda berbilang bahasa bukan saja mencerminkan sikap mesra terhadap pelancong antarabangsa tetapi juga membentuk elemen teras daya tarikan budaya Malaysia.
“Dengan menerima dan mempromosikan kepelbagaian ini, Malaysia boleh mengubah warisan pelbagai budaya kepada kelebihan ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan negara,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut mengkritik kenyataan, Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dan mempersoalkan sama ada selama ini bekas Perdana Menteri itu benar-benar memupuk perpaduan nasional atau menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
“Bukankah beliau sepatutnya bermuhasabah diri dan memikirkan kelemahan dirinya sendiri.
Sebagai seorang negarawan, Mahathir harus menyokong dan bekerjasama dengan generasi baharu bagi memastikan pembangunan negara yang stabil dan bukannya berpegang kepada sikap lapuk,” katanya.
Beliau mendakwa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semua yang didengar hanyalah kenyataan yang tidak membina dan bukannya sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi atau keharmonian sosial.
“Adakah Mahathir ikhlas menggalakkan pembangunan ekonomi dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia,” soalnya.
Dr Mahathir baru-baru ini meluahkan kekecewaan dan kebimbangannya terhadap penggunaan meluas tulisan Cina di sebuah kompleks beli-belah Kuala Lumpur, yang menurutnya memberi kesan kepada identiti kebangsaan.
Dalam kenyataan yang dikongsi di platform X, Dr Mahathir menceritakan pengalamannya ketika mengunjungi salah satu pusat beli-belah baharu di ibu negara pada hujung minggu.
Namun, beliau menegaskan kehadiran ketara tulisan Cina di papan tanda, yang menurutnya mengatasi penggunaan Bahasa Kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu.
“Saya tiba-tiba rasa seperti berada di China,” ujarnya.
Nnnn
