Penghinaan terhadap kemanusiaan

BANDARAYA GAZA: Hamas menyifatkan serangan berulang Israel ke atas Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, sebagai ‘penghinaan yang memalukan terhadap kemanusiaan dan norma antarabangsa’.

Sambil mengutuk serangan itu, kumpulan pejuang Palestin itu meminta masyarakat antarabangsa untuk mengenakan ‘sekatan tegas’ ke atas Israel yang didakwa melakukan ‘genosid secara sistematik’ di utara Gaza.

Kumpulan itu turut mengecam ‘kempen genosid, pembersihan etnik dan pengusiran paksa terhadap orang awam di utara Gaza, serta taktik kebuluran yang menyasarkan dua juta penduduk di wilayah itu’ yang dilakukan Israel secara berterusan.

Hamas sekali gus meminta masyarakat antarabangsa untuk ‘melaksanakan langkah-langkah menghukum terhadap pihak Israel bagi menghentikan pencerobohan dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan.’

Terdahulu Pengarah hospital berkenaan, Dr Hussam Abu Safiya, menyifatkan serangan pada Jumaat lalu itu sebagai ‘satu lagi episod hitam dalam siri pengeboman berterusan.’

Serangan berlangsung dari tengah hari hingga tengah malam itu menyasarkan ‘kawasan penerimaan kecemasan, pintu masuk, kawasan lapang serta generator’ sehingga menyebabkan 12 kecederaan, termasuk dalam kalangan doktor, jururawat dan kakitangan pentadbiran.

Related posts

Leave a Comment