SINGAPURA 24 Nov. – Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura, Lee Hsien Loong akan berundur daripada jawatan tertinggi parti politik itu, hari ini bagi memberi laluan kepada penggantinya, Lawrence Wong.
Hsien Loong yang memegang jawatan itu sejak November 2004, tiga bulan selepas menjadi Perdana Menteri Singapura pada Ogos tahun yang sama akan menyerahkan jawatan itu kepada Wong yang menyandang jawatan Perdana Menteri sejak Mei lalu.
Pengunduran beliau itu juga berlangsung pada sambutan ulang tahun ke-70 PAP malam tadi dan Konvensyen PAP 2024 hari ini di mana beliau dijadualkan memberi ucapan terakhir sebagai setiausaha agung pagi ini.
Pada anugerah dan konvensyen PAP dwitahunan tahun ini yang berlangsung selama dua hari, satu segmen program itu didedikasikan kepada Hsien Loong dengan tayangan video yang memaparkan penghormatan daripada ahli parti semasa beliau menerajui parti itu.
“Apa sahaja yang saya lakukan sebagai Setiausaha Agung dan sebagai Perdan Menteri, saya telah lakukan dengan bantuan dan sokongan anda dan tidak mungkin dilakukan tanpanya. Saya berterima kasih kepada anda,” kata Hsien Loong sambil mengucapkan terima kasih kepada parti itu.
Ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan yang besar untuk saya berkhidmat. Saya sangat gembira kerana kami telah sampai ke tahap ini.”
Dalam ucapannya itu, beliau turut menyeru kepada semua ahli untuk “bekerja keras” pada pilihan raya umum akan datang tahun depan.
Pada konvensyen PAP tahun lepas, Hsien Loong berjanji akan menyerahkan kepimpinan parti kepada Lawrencen menjelang persidangan tahun ini, yang juga menandakan ulang tahun ke-70 PAP. –
