KOTA KINABALU 12 Okt. – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengemukakan cadangan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Presidennya, Ewon Benedick, berkata UPKO mengambil keputusan itu kerana mahu PH mempunyai penonjolan kepada semangat Sabah.
Bagaimanapun Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan dan belum ada keputusan mengenainya setakat ini.
“Kita mahu PH mempunyai penonjolan kepada semangat Sabah, sebab itu UPKO mengemukakan syor menggunakan logo sendiri dan saya percaya rakan-rakan pimpinan PH memahami apa yang disuarakan terkait dengan pemakaian logo ini.
“Bagi saya apabila ia masih dibincangkan, biarlah ia dibincangkan dan diputuskan dulu. Apabila sudah ada keputusan barulah kita maklumkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Francais Halal di sini hari ini.
Ewon diminta mengulas khabar angin yang menyatakan UPKO bakal bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Sabah akan datang.
Selain UPKO, PH turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Sementara itu, Ewon yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.
Nnn
