100 daripada 231 individu ada rekod nikah

SHAH ALAM 18 Nov. – Hanya 100 orang daripada 231 individu mengaku suami isteri dalam kalangan ahli GISBH Holdings (GISBH) yang ditahan, mempunyai rekod perkahwinan, demikian dedah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Beliau berkata, ia adalah hasil semakan dibuat menerusi Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia dan sistem dalam talian lain.

“Dari sudut penguatkuasaan undang-undang, JAIS akan mengambil tindakan berhubung pelanggaran peraturan dan undang-undang syariah negeri ini.

“Antara yang boleh disiasat ialah Seksyen 12 (c) berkaitan melanggar fatwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan siasatan berhubung pernikahan serta perkahwinan ahli GISBH merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Abbas Salimmi Che Adzmi (PH-Seri Serdang), Chua Wei Kiat (PH-Rawang) dan Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) berhubung peranan kerajaan negeri, perkembangan terkini serta pemulihan yang ahli GISBH yang ditahan.

Mohammad Fahmi berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JAIS menyedia serta menyelaras modul dan melaksanakan program pemulihan ke atas ahli GISBH.

“Pemulihan membabitkan dua kaedah iaitu secara sukarela dan perintah mahkamah.

“Tindakan pemulihan ahli GISBH yang menyerah diri secara sukarela atau melalui program rehabilitiasi Majlis Keselamatan Negara (MKN), MAIS bekerjasama dengan MKN dalam program pemulihan dari 14 Oktober hingga 14 November lalu.

“Program bertujuan memberi peluang kepada ahli GISBH bertaubat secara sukarela dan disantuni sebagai mangsa, bukan sebagai pesalah. Peserta ditempatkan di rumah pemulihan MAIS yang terpilih,” katanya.

Setakat 7 November lalu, katanya, 11 peserta ditempatkan di rumah pemulihan MAIS dengan program berpandukan Modul Istitabah MAIS, termasuk memberi latihan kemahiran bersesuaian.

“Modul Istitabah merangkumi empat bahagian iaitu saringan, rawatan kerohanian, pemulihan dan pengukuhan, selain sokongan menitikberatkan berkaitan akidah, fardu ain dan pembentukan sahsiah,” katanya.

Beliau memberitahu, sesi pendidikan formal juga dilaksanakan bagi kanak-kanak yang berada di tempat selamat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala

ahli yang diarah mahkamah menjalani pemulihan mengikut tempoh ditetapkan, ia dilakukan di rumah pemulihan dan perlindungan MAIS yang diwartakan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment