KUALA LUMPUR 18 Nov. – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) termasuk unit Kawal Selia Padi dan Beras diminta menjelaskan kedudukan sebenar mengenai situasi beras putih tempatan (BPT) yang sehingga kini didakwa hampir tidak terdapat di pasaran.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, sebagai wakil kerajaan, beliau malu dengan isu beras tempatan yang sudah dua tahun belum selesai.
“Saya ingin kemukakan satu persoalan (mengenai) subsidi yang banyak yang Parlimen akan luluskan (melalui Belanjawan 2025) dan diperuntukkan kepada KPKM ini, tapi tak dapat menyelesaikan masalah.
“Saya ingin (tanya) kementerian dan unit di bawahnya iaitu Kawal Selia Padi dan Beras… soalan saya kenapa sampai sekarang BPT hampir tidak ada di pasaran.
Petang semalam saya tengok di kawasan saya (ada) beras import saja. BPT yang kerajaan bawa (dari) luar dan Parlimen luluskan (subsidinya) berbilion-bilion ringgit tapi tidak ada (stok),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2025) peringkat jawatankuasa bagi KPKM di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Hassan, beras import lebih banyak berbanding BPT, mengundang satu persepsi dalam kalangan rakyat, yang memerlukan KPKM dan agensi bertanggungjawab memperjelaskannya.
“Ini persepsi rakyat tolong jawab. Kalau ya kata ya, kalau tidak kata tidak. Adakah beras import yang dijual di kedai dan pasar-pasar itu sebenarnya, sepenuhnya BPT atau campuran sebahagian tempatan dan sebahagian import, benar atau tidak perkara ini.
“Jadi saya nak tanya unit Kawal Selia Padi dan Beras, anda diberi kuasa yang besar oleh Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522)… apa yang unit kawal selia ini lakukan… kementerian, menteri, timbalan menteri tolong pantau,” katanya.
Hassan secara sinis turut membangkitkan persoalan kepada kerajaan apakah rakyat perlu menunggu 20 tahun atau dua penggal lagi untuk selesaikan isu bekalan BPT.
“Kalau soal makan, soal beras tak dapat selesai, apa maknanya belanjawan berbilion kalau soal makan pun tak beres,” katanya.
Tambahnya lagi, meskipun pandemik wabak Covid-19 sudah berakhir, beliau hairan mengapa isu kekurangan BPT dalam pasaran masih berlaku.
“Kita jadi kerajaan dan saya ‘backbencher’ (penyokong) kerajaan bukan baru dua bulan, bukan baru dua minggu., tetapi sudah dua tahun (isu beras) tak selesai. Malu saya.
“Kerajaan sediakan (subsidi) dan Parlimen Insya-Allah akan luluskan untuk belanjawan tahun depan. Jadi kerajaan telah berbelanja untuk tahun ini. Ini sudah November. Kita luluskan tahun lepas tapi berbilion ringgit telah kita keluarkan, soal keterjaminan makanan ini tak selesai.
“Satu kilogram (kg) BPT (berharga) RM2.60. Murah. Atas kertas apa makna harga BPT itu murah, tapi tak ada (stok). Yang ada beras import yang mahal.
“Takkan dalam dua tahun, Covid-19 sudah tak ada lagi… Takkan tak boleh selesaikan perkara ini. Nak tunggu 20 tahun, dua penggal pilihan raya lagi? Ini kena selesaikan,” katanya.
Nnn
