Mohd Dusuki Peguam Negara baharu

PUTRAJAYA 11 Nov. – Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu, berkuat kuasa esok.

Mohd Dusuki, 57 menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, 56 yang memegang jawatan itu mulai 6 September 2023 dan kini dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Mohd Dusuki selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dilahirkan di Machang, Kelantan, Mohd Dusuki adalah lukusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM);  Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia dan mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di AGC.

Spekulasi sebelum ini menyenaraikan Mohd Dusuki antara lima pegawai kanan di AGC untuk dilantik ke jawatan Peguam Negara.

Empat yang lain ialah Peguamcara Negara (I), Datuk Suzana Atan; Peguamcara Negara (II), Datuk Umar Saifuddin Jaafar; Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Datuk Masri Mohd Daud dan Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Sementara itu, Ahmad Terrirudin yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968, pernah bertugas sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022.

Beliau dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September 2023.

Terrirudin, yang memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1992, sudah berkhidmat di pelbagai kedudukan, termasuk hakim Mahkamah Sesyen dan kemudian dilantik pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Beliau juga pernah menjadi timbalan ketua jabatan sivil di Pejabat Peguam Negara dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang Kedah, sebelum dilantik ketua pendaftar di Mahkamah Persekutuan pada 2019.

Nnn

foto Mohd Dusuki (kiri) menggantikan Ahmad Terrirudin

Related posts

Leave a Comment