BAITULMAQDIS – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh akibat serangan Israel di utara Gaza manakala satu lagi serangan di selatan ibu kota Syria, Damsyik mengorbankan sembilan orang termasuk seorang komander Hizbullah.
Menurut agensi pertahanan awam di Semenanjung Gaza, 13 kanak-kanak adalah antara 30 orang yang terbunuh akibat serangan Israel di utara wilayah itu.
Serangan pertama memusnahkan rumah di Jabalia, membunuh sekurang-kurangnya 25 mangsa termasuk 13 kanak-kanak selain mencederakan lebih 30 orang.
Pada sekitar pukul 6 pagi, ‘terdapat satu letupan yang sangat besar’ di rumah keluarga Alloush, di mana semua mayat sudah berkecai dengan anggota badan serta cebisan mayat berselerakan.
Sejak akhir September, Israel terbabit dalam perang dua hala selepas mengalihkan tumpuannya ke arah utara, Lubnan.
Pada 15 Oktober lalu, sekutu utama Israel, Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa ia boleh menahan sebahagian bantuan bernilai berbilion dolar melainkan Israel menambah baik penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza dalam tempoh 30 hari, yang tamat pada Rabu ini.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, berkata pegawai atasan AS menjelaskan kepada kerajaan Israel bahawa perubahan perlu dibuat untuk melihat tahap bantuan yang masuk ke Gaza meningkat semula daripada tahap yang sangat rendah.
Amaran itu dikeluarkan sebelum pengundian 5 November lalu yang menyaksikan Donald Trump memenangi pemilihan Presiden AS 2024 dan sebelum ini mengesyorkan kebebasan lebih besar kepada Israel.
