Malaysia terdedah kesan perubahan iklim

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Malaysia sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim walaupun hanya menghasilkan 0.8 peratus pelepasan gas rumah hijau dunia, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Justeru, Malaysia bertekad menambah baik tindakan penyesuaian dan penyelarasan dengan Rangka Kerja untuk Ketahanan Iklim Global Emiriah Arab Bersatu, seperti dibincang pada Persidangan Perubahan Iklim ke-28 (COP28) di Dubai, tahun lalu.

Beliau berkata, ia seiring persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN tahun hadapan.

“Tindakan yang kita ambil akan membentuk dunia bakal diwarisi anak cucu kita. Seperti mana belia tidak terlalu muda untuk membuat perubahan, negara kita juga tidak terlalu kecil untuk memberi impak kepada dunia,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian pada perasmian Forum Adaptasi Perubahan Iklim Belia bertajuk Embracing Resilience In Malaysia, yang diadakan sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau serta Produk Eko Malaysia (IGEM)

Forum yang memfokuskan kepada golongan muda dan memaparkan perbincangan mengenai bandar mampan, pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem, pertanian mampan dan keterjaminan makanan, keadilan iklim, kesedaran dan pendidikan.

Nik Nazmi berkata, generasi muda adalah rakan kongsi kritikal dalam menangani isu iklim dan alam sekitar yang unik di Malaysia.

Katanya , penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan penting, memastikan suara mereka didengari dan perspektif mereka dimasukkan ke dalam dasar pembangunan dan pelaksanaannya.

“Seperti golongan belia tidak terlalu muda untuk membuat perubahan, negara kita juga tidak terlalu kecil untuk memberi impak kepada dunia,” katanya.

Pada 7 Jun lalu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar menubuhkan Kluster Belia, satu subpanel di bawah Panel Perundingan Perubahan Iklim, untuk menggabungkan perspektif belia daripada pelbagai organisasi dan komuniti ke dalam inisiatif perubahan iklim negara.

Sementara itu 92 peratus golongan muda di Malaysia yang terbabit dalam satu kajian mengakui perubahan iklim adalah krisis dan menyatakan kesediaan mengambil tindakan perubahan iklim.

Oleh itu, membabitkan belia dalam penyesuaian dan pembinaan daya tahan ialah cara paling berkesan melindungi belia dan komuniti mereka daripada kesan segera dan jangkaan perubahan iklim.

Dapatan itu adalah hasil laporan bersama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-UNICEF-EcoKnight’s Change for Climate (2020).

Nnn

 

Related posts

Leave a Comment