Netanyahu luluskan serangan alat kelui

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengakui,  beliau meluluskan serangan maut pada 15 September lalu menggunakan alat kelui Hizbullah yang meletup di Lebanon.

Hizbullah sebelum ini menyalahkan musuh utamanya, Israel, berhubung letupan alat kelui yang menjejaskan kumpulan pejuang disokong Iran itu dan bersumpah untuk membalas dendam.

Peranti bimbit yang digunakan oleh operatif Hizbullah meletup selama dua hari berturut-turut, bermula 15 September lalu, di pasar raya, jalan raya dan upacara pengebumian.

Serangan itu mengorbankan hampir 40 orang dan mencederakan lebih 3,000 yang lain, dilancarkan mengiringi operasi ketenteraan Israel yang sedang berlangsung di Lubnan.

Hizbullah memulakan serangan intensiti rendah terhadap Israel untuk menyokong Hamas selepas serangan sekutunya pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel, yang mencetuskan perang di Gaza.

Serangan tersebut semakin intensif sejak tercetusnya perang di Lubnan pada akhir September, ketika Israel meningkatkan kempen udara terhadap Hizbullah dan kemudian menghantar tentera darat ke selatan Lubnan.

Adalah dipercayai, Mossad, agensi perisikan Israel, memasang bahan letupan di dalam 5,000 alat kelui yang ditempah oleh Hizbullah beberapa bulan sebelum letupan itu.

Sumber itu menyatakan bahawa kod dihantar serentak kepada 3,000 alat kelui berkenaan, menyebabkan ledakan berlaku, juga secara serentak.

Walaupun mekanisme tepat bagi letupan itu belum jelas, pakar berpendapat sistem radio alat kelui itu digodam, mungkin melalui kod yang diubahsuai.

Menurut sumber, alat kelui yang diperoleh Hizbullah berada dalam simpanan pihak ketiga di sebuah pelabuhan selama tiga bulan, menunggu kelulusan pelepasan, sebelum akhirnya dihantar kepada mereka.

Hizbullah mencurigai bahawa Israel berjaya memasang bahan letupan dalam peranti itu semasa tempoh tiga bulan terbabit.

Siasatan Hizbullah juga menunjukkan bahawa bebola logam ditempatkan di sekitar bateri alat kelui, yang menyebabkan daya letupan menyebarkan serpihan logam ke arah luar, sekali gus meningkatkan daya maut letupan.

Nn

Related posts

Leave a Comment