Tidak wajar PRN Sabah jadi ‘tikus makmal’

KOTA KINABALU 9 Nov. – Sabah tidak harus dijadikan bahan ujian untuk menguji keberkesanan kerjasama politik di antara parti dalam Kerajaan Perpaduan kerana ia akhirnya hanya membawa kerugian kepada Sabah.

Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Masidi Manjun berkata, adalah tidak wajar menjadikan Sabah eksperimen bagi kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) akan datang.

Katanya, tindakan itu seolah-olah menjadikan negeri ini sebagai ‘tikus makmal’ yang disifatkannya sebagai merendahkan maruah rakyat negeri ini.

“Dalam keadaan di mana semua parti sedang bersedia untuk menghadapi PRN, timbul pelbagai komen dan satu yang saya lihat serta tergores apabila ada pemimpin kata kita dijadikan makmal politik.

Ertinya kita ini tidak lebih sebagai bahan politik, seolah-olah kita dilihat tidak penting, hanya dijadikan makmal ujian politik, ini sesuatu yang mengecewakan kita di Sabah.

“Adakah selama ini kita tidak menyumbang kepada kekayaan dan kekuatan sedangkan kekayaan Sabah disumbang kepada negara. Selepas semua ini, adakah kita hanya layak dijadikan bahan ujian politik,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat, di sini, hari ini.

Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata, Sabah pernah dijadikan bahan ujian makmal politik pada 1990-an menerusi sistem penggiliran Ketua Menteri yang menetapkan tempoh perkhidmatan seseorang ketua menteri selama dua tahun.

“Jika kita lihat sejarah politik Sabah, ada beberapa keadaan di mana kita dijadikan sebuah eksperimen politik. Saya sebut tadi mengenai sistem penggiliran dua tahun yang bagi saya adalah eksperimen politik.

“Tapi saya tidak fikir ia mencapai keputusan yang diinginkan. Tempoh selama dua tahun terlalu pendek bagi seorang Ketua Menteri kerana masa yang singkat untuk melaksanakan sesuatu perkara,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata PRN17 tahun depan bakal menjadi ‘makmal’ untuk menguji kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN itu berkata PRN Sabah penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya.

Masidi berpandangan GRS dan PH sepatutnya membuat keputusan mengenai parameter kerjasama pada PRN17.

“Ini pandangan peribadi saya tetapi saya rasa ramai pemimpin GRS mempunyai pandangan yang sama. Kita bukan mengkritik, kita bukan anti Kuala Lumpur, kita hanya mahu orang Sabah dihormati selayaknya.

“Kita bukan lebih-lebih, kerana seperti yang saya katakan, apabila orang Sabah merasa diri dihargai, dia akan menjadi seorang rakyat Malaysia yang bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Mengenai jawatankuasa rundingan kerusi yang dibentuk GRS, Masidi selaku pengerusinya berkata pihaknya belum lagi memulakan rundingan dengan parti komponen yang lain.

“Kita belum memulakan perundingan kerana kita rasa belum ada keperluan untuk mengadakan perundingan serta-merta, tapi dalam di kalangan GRS sendiri, kita merasakan tidak terlalu rumit untuk merundingkan.

“Bagi saya pada akhirnya, tujuan terakhir adalah untuk memenangi pilihan raya. Tidak kisah daripada siapa yang menjadi calon, kita semua tahu bahawa dia mewakili GRS, itu yang penting,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment