SYDNEY – Australia dijangka menggubal undang-undang bagi melarang penggunaan media sosial untuk individu berusia di bawah 16 tahun, kata Perdana Menteri Anthony Albanese, hari ini.
Katanya, media sosial membawa kesan mudarat kepada kanak-kanak dan kini tiba masanya beliau mengambil tindakan menghentikan penggunaannya.
Bercakap pada sidang media, beliau berkata, perundangan berhubung perkara itu akan dibentangkan di Parlimen tahun ini dengan undang-undang berkenaan berkuat kuasa dalam tempoh 12 bulan selepas ia disahkan oleh anggota Parlimen.
Menerusi undang-undang itu juga, tidak akan ada pengecualian untuk pengguna yang mendapat kebenaran ibu bapa.
Ini bermakna platform media sosial perlu menunjukkan usaha atau tanggungjawab mereka untuk mengelakkan akses yang tidak dibenarkan atau berbahaya.
“Tanggungjawab itu bukan pada ibu bapa atau kanak-kanak bawah usia yang dimaksudkan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Michelle Rowland, berkata platform yang akan terkesan dengan larangan itu termasuk Instagram dan Facebook, Platform Meta, TikTok dan X.
“Selain itu, YouTube mungkin juga termasuk dalam skop perundangan berkenaan,” katanya.
Setakat ini, keempat-empat syarikat terbabit tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Sebilangan negara berikrar untuk mengekang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial melalui undang-undang, walaupun dasar Australia adalah salah satu yang paling ketat.
Tahun lalu, Perancis mencadangkan pengharaman media sosial untuk kanak-kanak berusia bawah 15 tahun walaupun pengguna dapat menghindari larangan itu dengan kebenaran ibu bapa.
Amerika Syarikat berdekad lamanya menyatakan syarikat teknologi untuk mendapatkan kebenaran ibu bapa bagi mengakses data kanak-kanak bawah 13 tahun, menyebabkan kebanyakan platform media sosial melarang mereka di bawah umur itu daripada mengakses perkhidmatannya.
Nnn
(Foto FB)
