Konvensyen PH ‘paluan gendang perang’

KUALA LUMPUR 14 Mei – Jika awal minggu ini, UMNO berkumpul di Johor untuk menyambut ulang tahun ke-80 parti, hujung minggu ini, 17 Mei, giliran Pakatan Harapan (PH) pula berkumpul untuk mengadakan Konvensyen PH 2026.

Lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara mewakili PKR, DAP dan Amanah dan pimpinan utama dijangka hadir bagi memberi fokus untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta beberapa negeri lain.

Konvensyen yang bakal dirasmikan Perdana Menteri  Anwar Ibrahim bakal menjadi medan penting menentukan hala tuju gabungan itu, termasuk persediaan menghadapi PRN seterusnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Pengarah Komunikasi PH,  Fahmi Fadzil, berkata mesej yang akan disampaikan Anwar yang juga Pengerusi PH, dalam konvensyen berkenaan dijangka memperincikan strategi politik dan gerak kerja jentera parti menjelang pilihan raya.

“Dalam mesej beliau nanti kita akan dapat hala tuju bagi PH dengan desas-desus kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri Johor, Melaka dan seterusnya.

“Sudah pasti amanat daripada pimpinan utama PH ini akan meletakkan hala tuju dan landasan dalam banyak perkara yang akan disusuli oleh jentera pilihan raya bagi gabungan ini sama ada di peringkat negeri mahupun nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026, di sini hari ini.

Fahmi menyifatkan konvensyen pertama yang diadakan dalam tempoh empat tahun itu sebagai ‘paluan gendang perang’ bagi PH di peringkat kebangsaan, sekali gus menetapkan nada dan ritma pergerakan gabungan itu menjelang fasa politik seterusnya.

Konvensyen itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor..

Menurut Fahmi, walaupun setakat ini Anwar belum memberi sebarang petunjuk PRU akan diadakan dalam masa terdekat, pimpinan PH tetap diingatkan supaya sentiasa bersedia.

“Walaupun tiada isyarat PRU-16 dalam masa terdekat, Perdana Menteri menegaskan usaha menyelesaikan masalah rakyat mesti menjadi keutamaan, khususnya membabitkan golongan penjaja, peniaga kecil dan mereka yang memerlukan bantuan.

“Dalam masa sama, kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kita tahu Johor mungkin akan ada pilihan raya, walaupun bukan sekarang, tetapi tidak mustahil dalam tempoh yang tidak terlalu lama,” katanya.

NNNN

Related posts

Leave a Comment