KUALA LUMPUR 7 Nov. – Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menuntut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, membuat penerangan atau menarik semula kenyataan yang mendakwa dirinya silap memberikan fakta berhubung kos pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) di Dewan Rakyat, semalam.
Ka Siong berkata, tindakan itu bagi membersihkan namanya yang dituduh melakukan kesilapan ketika menyatakan kos PADU ialah sebanyak RM85 juta, sedangkan beliau merujuk kepada fakta dilaporkan sebelum ini.
“Saya tidak berhasrat merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, namun bagi membersihkan nama saya, saya minta Speaker, menasihatkan menteri untuk melakukan sesuatu.
“Ia termasuklah menarik semula tuduhan beliau ke atas saya dan memberi penerangan di Dewan Rakyat… saya tidak mahu kesucian nama saya tercalar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ka Siong membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (12) terhadap kenyataan yang mengelirukan dewan.
Ia susulan Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar semalam, menyatakan bekas Menteri Pengangkutan itu, menggunakan data yang tidak betul.
Ka Siong menjelaskan, data RM85 juta itu diperoleh berdasarkan jawapan menteri kepada Ahli Parlimen dan ia turut dilaporkan di portal berita termasuk Suara Keadilan.
“Saya tanya bagaimana kamu boleh buat jawapan macam itu, dia kata pegawai yang bagi… itu bukan masalah saya. Kalau benar pegawai bagi (maklumat) tanpa persetujuan… dia kena buat penerangan menteri di sini.
“Pergi balikpun, dosa itu tidak sepatutnya ditanggung Wee Ka Siong. Saya hendak kemuliaan dewan ini, jangan nama saya tercalar, esok saya pencen, cucu cicit akan persoalkan saya kerana saya tidak bersihkan nama saya.
“Saya bukan hendak cari fasal, tetapi kerana kesucian nama seorang yang jahil seperti Wee Ka Siong saya pertahankan sampai kiamat,” katanya.
Ka Siong menjelaskan teguran yang dibuat itu adalah bagi mempertahankan integritinya sebagai wakil rakyat yang sudah 20 tahun berada di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, memutuskan supaya Ka Siong menulis permintaan maaf dan penjelasan itu secara rasmi.
Nnn
