PUTRAJAYA 14 Mei – Bekas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli akan membuat pengumuman yang ‘luar biasa’ pada Ahad ini berhubung hala tuju baharu politik beliau serta Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau yang enggan mendedahkan apa akan diumumkannya menjelaskan sekiranya sekadar pengumuman ‘biasa-biasa’, ia akan dilakukan melalui akaun TikTok saja.
“Jadi, kalau saya dengan Nik membuat keputusan untuk mengadakan pengumuman itu secara terbuka dan saya menjemput orang ramai datang, maksudnya ia bukan pengumuman politik ‘biasa-biasa’… (sebaliknya) luar biasa, ia agak luar biasa,” katanya kepada pemberita,
Ahli Parlimen Pandan itu ditemui pemberita selepas memberi keterangan secara sukarela di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Rafizi hadir di ibu pejabat SPRM bagi menyambung memberi keterangan serta menyerahkan 28 item dokumen bahan bukti untuk siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion yang dimeterai kerajaan dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di England, Arm Holdings plc (ARM).
Beliau yang juga bekas Menteri Ekonomi, tiba bersama barisan peguamnya sekitar jam 9.50 pagi tadi sebelum memberi keterangan selama kira-kira dua jam.
Ditanya mengenai telahan sesetengah pihak bahawa beliau tidak akan meninggalkan PKR pula, Rafizi berkata, ia terpulang kepada pendapat masing-masing.
Malah, beliau menyifatkan ia sebagai kelebihan ahli politik sepertinya bagi memastikan orang ramai dan pihak media terus tertanya-tanya mengenai langkah seterus yang akan diambil, sehingga tiba hari pengumuman itu.
“Ia bagi memastikan orang ramai terus meneka dan membuat spekulasi,” katanya sambil memaklumkan masih ada dua hari untuk ‘berteka-teki’, termasuk sama ada beliau serta Nik Nazmi akan bersama mana-mana gabungan politik lain.
Media sebelum ini melaporkan Rafizi dan Nik Nazmi akan mengumumkan hala tuju baharu politik mereka, Ahad ini di PJ Performing Arts Centre, One Utama E, Bandar Utama, Petaling Jaya, dari jam 2 hingga 5 petang.
Beliau menjemput orang ramai untuk turut hadir pada majlis berkenaan.
Pada 28 Mei 2025, Nik Nazmi yang ketika itu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 4 Julai tahun sama susulan gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR.
Pengumuman itu dibuat kira-kira tiga jam selepas Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun 2025, juga selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.
Rafizi dipetik berkata, tempoh sejak setahun lalu memberi ruang kepada kedua-dua mereka untuk meneliti pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor sebelum menentukan langkah politik seterusnya.
Nnnn
