Kerjasama dengan PH tidak berulang – Pas

MARANG 22 April – Pas akan memastikan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) tidak akan berulang sebaliknya akan mengukuhkan kerjasama dengan parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, Pas sudah lama bekerjasama dengan PH dan cukuplah sehingga tempoh itu untuk meneruskan kerjasama.

“Kita akan berusaha mengekalkan dan memperkukuhkan kerjasama (dengan PN dan UMNO) ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pendirian Pas adalah kerjasama dengan parti dalam PH tidak akan berulang,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika mengulas mengenai isu `khemah besar’ apabila beberapa pemimpin PH termasuk DAP dan Amanah menolak kerjasama menerusi pendekatan `khemah besar’.

Mengulas mengenai PasLeak, Abdul Hadi berkata, Pas tidak akan melayan isu PasLeak yang disifatkan sebagai surat layang bertujuan memfitnah parti.

Katanya, hanya golongan loyar buruk yang berminat untuk melayan surat layang berkenaan.

“Tiada keperluan Pas dan saya untuk membuat penafian selepas penjelasan sudah diberikan Naib Presiden,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kelmarin.

“Masalahnya siapa yang buat surat itu pun kita tak tahu, jadi tiada guna kita duk layan (melayan) surat layang ni, nanti kita sama-sama melayang,” katanya.

Abdul Hadi berkata, hanya yang loyar buruk akan melayan surat layang, kerana dari segi undang-undang pun tidak lekat untuk diambil tindakan.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keratan yang didakwa minit mesyuarat Pas yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Related posts

Leave a Comment