PORT DICKSON 26 Okt . – Mulai 18 November ini, semua aktiviti sewaan khemah biru dihentikan di Pantai Telok Kemang, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin.
Notis dikeluarkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) itu antara lain memaklumkan semua khemah dan peralatannya perlu dibersihkan dari tapak perniagaan.
Surat ditandatangani Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid itu, menyenaraikan alasan tindakan terbabit, termasuk aktiviti sewaan khemah biru di Pantai Telok Kemang menjejaskan nama baik Port Dickson sebagai pantai peranginan.
“Ini ditambah lagi dengan tindakan segelintir peniaga yang menghalau orang awam daripada menggunakan pantai awam,” menurut notis berkenaan.
Terdahulu aktiviti sewaan khemah di pantai sering mencetuskan pertikaian di antara peniaga dan orang ramai yang mahu menggunakan pantai awam itu.
Arahan menghentikan sewaan khemah mulai 18 November itu turut membabitkan Pantai Telok Kemang, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin. Ia sebagai persediaan bagi menambah baik perniagaan khemah di pantai-pantai daerah ini.
Selain itu, larangan memulakan apa-apa perniagaan sebagai ganti yang jika tidak dipatuhi, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Jika tidak mematuhi mana-mana kehendak notis, MPPD akan memindahkan dan mengalihkan halangan terbabit tanpa notis selanjutnya.
“Pengusaha khemah juga dikehendaki melakukan pembersihan dan menghilangkan semua peralatan seperti khemah-khemah, meja, kerusi, payung, struktur atau binaan tempat simpanan dan sebagainya.
“Pihak majlis akan melupuskan apa-apa peralatan yang masih kekal di pantai sekiranya ada selepas pemantauan dilakukan,” kata notis berkenaan.
Sehingga kini, masih terdapat peniaga ingkar dengan syarat dan peraturan yang ditetapkan MPPD dalam surat bertarikh 18 Jun 2020.
Nnn
