Filipina catat 590 kes baharu

INDONESIA terus mencatat pertambahan kes positif Covid-19 apabila merekodkan 557 kes baharu menjadikan 25,773 kes, dengan kematian kini 1,573 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 53 lagi kes meninggal  dunia.

Ketika ini, seramai 12,832 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19..

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 516 kes, diikuti Jawa Timur (372 kes), Jawa Barat (144) dan selebihnya di wilayah lain.

FILIPINA hari ini merekodkan 590 kes menjadikan jumlah keseluruhan 17,224 kes, demikian lapor Jabatan Kesihatan hari ini. Sebanyak lapan kematian juga dicatatkan  menjadikan 950 kes.

Pada masa yang sama, jumlah kes pulih pula meningkat kepada 3,808 dengan penambahan 88 kes pulih yang terbaharu.

THAILAND merekodkan satu kes baharu melibatkan seorang pelajar yang baru kembali dari Arab Saudi dan masuk ke negara itu menerusi sempadan Malaysia.

Pelajar berusia 26 tahun itu tiba di Kuala Lumpur dan menaiki bas ke Narathiwat, Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis.

Pelajar berkenaan dimasukkan ke fasiliti kuarantin pada 25 Mei dan disahkan positif semalam. Semua 39 penumpang di dalam bas itu menjalani ujian saringan Covid-19.

Sehingga kini, tiada kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 3,077 dengan 57 kematian.

SINGAPURA mengesahkan tambahan 506 kes termasuk lima jangkitan dalam komuniti, menjadikan jumlah terkumpul kes positif di negara itu sebanyak 34,366.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata daripada lima kes tempatan itu, dua adalah warganegara Singapura atau pemastautin tetap manakala tiga lagi pemegang pas kerja. Majoriti kes melibatkan pekerja asing di asrama.

Sehingga lewat Jumaat, Singapura mengklasifikasikan 1,677 sebagai kes tempatan, 580 kes import dan 31,603 pekerja asing tinggal di asrama. Sebanyak 19,631 pesakit atau kira-kira 58 peratus daripada jumlah kumulatif 33,860 setakat Jumaat telah pulih.

Setakat ini, 461 kes masih dirawat di hospital dengan lapan berada di unit rawatan rapi manakala 23 meninggal dunia.

BRUNEI DARUSSALAM tidak merekodkan sebarang kes baharu dan jumlah kes kekal 141 dengan dua kematian.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan 138 kes sembuh manakala satu lagi sedang menerima rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Related posts

Leave a Comment