Semak daftar pengundi baharu

PUTRAJAYA 22 Okt. – Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan September Tahun 2024 (DPT BLN9/2024) boleh dibuat untuk tempoh 30 hari sehingga 20 November depan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Ikmalrudin Ishak.

DPT BLN9/2024 yang diperaku dan diwartakan hari ini, mengandungi 42,479 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas, dalam tempoh 1 hingga 30 September 2024 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Selain itu ia mengandungi 8,172 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,031 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Berdasarkan rekod lalu,  DPT BLN8/2024 yang diperaku dan diwartakan itu sebelum ini mengandungi 41,498 pemilih baharu iaitu warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2024 yang didaftarkan secara automatik.

Jumlah pemilih baharu itu menunjukkan peningkatan berbanding dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Julai 2024 yang merekodkan 38,952 pemilih baharu.

Mengikut rekod, pemilih baharu yang didaftar secara automatik pada bulan Jun adalah 37,242 manakala 39,019  (Mei) ; 36,598 (April) ; 38,729 (Mac) ; 33,983 (Februari) dan 36,978 (Januari).

“SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Sept 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN9/2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.

Selain itu Ikmalrudin berkata sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN9/2024, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT

Nnnn

Related posts

Leave a Comment