KUALA LUMPUR 17 Okt. – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, purata 770 kes kanak-kanak hilang direkodkan setahun atau dua kes sehari.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata sejak 2020 hingga September lalu, sebanyak 3,847 kęs kanak-kanak hilang direkodkan.
Katanya, daripada 3,847 kes kanak-kanak hilang ini iaitu umur 18 tahun ke bawah, yang berjaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jumpa semula adalah 96 peratus.
“Maknanya, bagi setiap 100 hilang, 96 kita selamatkan dan yang meninggal dunia atau apabila jumpa, sudah mati, adalah 10 kes.
Jadi yang baki itu kita klasifikasikan sebagai masih hilang,” katanya menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) pada sesi Pertanyaan Menteri.
Mengenai kategori umur, sebanyak 54 peratus adalah kanak-kanak dan remaja yang berumur 13-15 tahun sementara umur 16 hingga 18 tahun sebanyak 37 peratus.
Paling ramai hilang juga adalah kanak-kanak dan remaja perempuan iaitu 74 peratus berbanding lelaki, 26 peratus.
Justeru, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM sudah dan sedang menggiatkan usaha menangani kes kanak-kanak hilang ini termasuk menerusi program kesedaran.
“Kita buat kempen kesedaran kanak-kanak. Kita juga buat kempen kesedaran wanita. Jadi program-program kesedaran ini kita tumpukan kepada ‘age bracket’ remaja yang kita sebutkan tadi (13 tahun hingga 18 tahun).
“Tahun ini saja, kita buat 457 program kesedaran membabitkan 141,000 kanak-kanak. Kalau sudah berlaku insiden hilang, kita segera ‘activate’ (aktifkan). Yang paling penting bila lapor kes hilang, yang pertama perlu dilakukan adalah hebahkan seluas mungkin,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, punca utama kepada kes kehilangan di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini antara lain adalah mahu mencari kebebasan, mengikut kawan dan kekasih serta berlaku salah faham dengan keluarga.
Nnnn
