Sarawak catat 132 kes, 1 kematian

KUCHING 21 Jan. – Sarawak merekodkan pertambahan 132 kes positif Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif negeri itu meningkat kepada 2,702 kes.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Sibu terus mencatat peningkatan tertinggi iaitu 62 kes.

Ini diikuti Kanowit (46), Bintulu (12), Miri (5), Kuching (3) dan masing-masing satu kes di Dalat, Lubok Antu, Serian dan Selangau.

“Kluster Pasai merekodkan pertambahan 88 kes positif menjadikan jumlah keseluruhan kes bagi kluster ini meningkat kepada 982 kes.

“Setakat ini sejumlah 8,250 individu disaring dengan 5,500 disahkan negatif manakala 1,768 masih menunggu keputusan ujian makmal,” kata kenyataan itu.

Selain itu, JPBN Sarawak turut melaporkan pertambahan satu kematian melibatkan kes 2,546 yang merupakan seorang lelaki warga tempatan di Hospital Miri pada 20 Januari 2021.

“Kes dimasukkan ke Hospital Miri pada 18 Januari 2021 kerana mengalami masalah kesukaran bernafas dan disahkan meninggal dunia dua hari selepas itu.

“Menerusi ujian saringan yang dijalankan mendapati kes positif Covid-19 pada 20 Januari 2021 dan turut disahkan menghidapi masalah kegagalan buah pinggang tahap akhir yang memerlukan rawatan dialisis,” tambahnya.

Sementara itu, 92 kes melibatkan 57 kes dari Hospital Sibu, Hospital Miri (30) dan Hospital Umum Sarawak (5) dilaporkan pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes pulih dan discaj di negeri itu meningkat kepada 1,323 atau 48.96 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif.

Related posts

Leave a Comment