MALDIVES menjadi negara terbaru yang melaksanakan larangan terhadap rokok elektronik secara berperingkat mulai November ini dalam usaha proaktif memerangi ketagihan nikotin dan melindungi kesihatan awam.
Presiden Mohamed Muizzu yang mengumumkan demikian dalam satu kenyataan berkata, kerajaan sedang mengambil langkah kukuh untuk melarang penggunaan vape itu.
Beliau mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk memulakan tindakan yang perlu bagi mengharamkan import peranti “vaporiser” , aksesori dan alat ganti mulai 15 November ini.
Mulai 15 Disember pula, larangan itu juga akan dikenakan ke atas pemilikan, penggunaan, pembuatan, penjualan, promosi, dan pengedaran percuma peranti rokok elektronik di seluruh negara.
Dalam pada itu rakyat Maldives menerusi hantaran di platform media sosial menyambut baik keputusan itu, dengan menyatakan bahawa ia akan melindungi masyarakat daripada gaya hidup yang berbahaya.
Sesetengah pihak turut mencadangkan agar larangan lebih meluas dikenakan ke atas penggunaan tembakau dan rokok.
Nnn
