KUALA LUMPUR 15 Okt. – Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan ke atas Bloomberg selepas portal berita antarabangsa, mendakwa wujud campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri juga menyerahkan perkara berkenaan kepada Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk mengambil tindakan yang bersesuaian.
Katanya, setakat ini polis telah mengambil tindakan termasuk memanggil wakil Bloomberg serta individu. berkenaan dan menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan pihak Peguam Negara untuk mengambil tindakan perundangan yang bersesuaian.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu kesediaan kerajaan untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg, berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan SPRM sehingga mencemarkan imejnya dalam memerangi rasuah.
Perdana Menteri berkata, SPRM sendiri telah buat kenyataan tegas menafikan tohmahan tersebut.
“Apa berlaku hanyalah arahan umum yang saya lakukan termasuk di Parlimen bahawa saya mahu SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), PDRM dan badan penguat kuasa lain bertindak tegas memerangi rasuah secara tegas, tanpa tolak ansur,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, pada 26 September lalu, sebuah portal tempatan memetik Bloomberg melaporkan dakwaan Anwar mengarahkan SPRM untuk tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador.
Anwar dalam pada itu menyatakan adalah tidak adil untuk terus mengaitkannya dengan Farhash hanya kerana pernah menjadi setiausaha politiknya sebelum ini.
“Untuk terus kaitkan sebab dia pernah jadi staf (kakitangan), saya rasa kurang adil. Jawapan ini bagi saya jelas, bagaimanapun andai kata ada maklumat yang melibatkan sesiapapun termasuk Farhash dalam mana-mana kes, sila lapor.
“Apa yang dibangkitkan soal Farhash, kalau ada laporan, itu wajib disiasat tapi SPRM harus bertindak berdasarkan siasatan.
Isu dia apa? Syarikat apa? Kes apa? Saya percaya YB Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari) tahu bahawa apa yang dikaitkan itu satu syarikat (HeiTech Padu Bhd) yang melibatkan Tuanku Sultan (Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V). Itu tak melibatkan Farhash,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli.
HeiTech Padu Bhd yang dikaitkan dengan Farhash merupakan salah satu daripada tiga syarikat yang disenarai pendek oleh kerajaan pada Mac tahun ini untuk membangunkan projek NIISe bernilai RM1 bilion, bertujuan sebagai pengganti sistem MyIMMs.
“Saya nak beritahu, kelulusan kepada syarikat itu adalah semasa kerajaan terdahulu. Semasa itu Farhash belum menjadi anggota syarikat tersebut. Ia betul, ada rekod. Kemudian, syarikat yang berkenaan itu sekarang dimiliki oleh Tuanku sebahagian besar sahamnya.
“Ia tiada kena mengena soal Farhash. Kalau adapun, ia mengikut tender, proses biasa. Kalau ada perlanggaran, bawa (bukti). Saya bicara di Parlimen ini, kalau ada kes, itu disiasat oleh SPRM. Kalau ada kes, saya tiada langsung (niat) menutupnya,” jelas Anwar.
Nnnn
