Gubal RUU banteras jenayah, ‘scammer’

KUALA LUMUR 14 Okt . – Kerajaan akan menggubal rang undang-undang (RUU) jenayah dalam talian sebagai sebahagian usaha membanteras sindiket ‘scammer’ atau penipuan di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), beliau berkata penggubalan RUU itu dibuat selepas mengambil kira masa depan negara menuju ke arah digital.

Azalina bagaimanapun tidak menyatakan perincian RUU yang dijadual dibentangkan selepas pembentangan Belanjawan 2025.

Menurut Azalina, pihak dikatakan scammer tidak hanya terhad bagi jenayah telekomunikasi, tetapi termasuk e-kewangan, love scam, e-dagang serta pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

“Isu ini (penipuan membabitkan data pengguna membabitkan transaksi perbankan) sedang berlaku. Betullah love scam dan sebagainya (membabitkan) ratusan bilion yang kena itu pihak ketiga yang kita kenal atau sebaliknya.

(Namun) ini pihak bank, mungkin Ahli Parlimen boleh berbincang, sama ada perlu sistem lebih ketat kepada bank atau industri yang memegang duit pengguna.

“Kedua, dengan adanya Kementerian Digital yang diwujudkan kerajaan, menunjukkan memang masa depan negara kita ke arah digital.

“Sebab itu kepekaan sangat perlu bagi kita sebagai Ahli Parlimen dan insya-Allah pada sesi ini kita akan wujudkan undang-undang jenayah dalam talian selepas Bajet (2025) supaya pelbagai perkara dapat kita bahas dan luluskan,” katanya.

Azalina juga menasihatkan pengguna yang berdepan situasi data perbankan dicabuli pihak ketiga supaya segera menghubungi talian 997 kendalian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC).

“Saya tak boleh jawab tetapi Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan), dia pakar bank. Saya pakar undang-undang. Namun, saya dimaklumkan Bank Negara Malaysia ada (talian) 997.

“(Tindakan) pertama perlu dilakukan ialah menentukan duit itu tidak melayang. Katakan kita bangun jam 4.30 pagi, jam 4.35 pagi kena segera tekan (hubungi talian) 997 (untuk lapor situasi dialami mangsa).

“Saya pun pernah ditipu, kucing saya kejutkan 3 pagi. Terperanjat saya RM3,000 hilang tetapi dapat balik duitlah (selepas melaporkan situasi terbabit ke talian 997),” katanya.

Terdahulu, Azalina berkata, kerajaan sudah mengambil langkah proaktif dengan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi menangani kes jenayah siber, terutama kes penipuan kewangan membabitkan penggunaan akaun keldai yang semakin meningkat.

Katanya, pindaan Seksyen 424A, 424B dan 424C Akta 574 sudah memasukkan peruntukan baharu berkaitan kesalahan mana-mana individu membenarkan bank akaunnya digunakan orang lain tanpa kuasa atau maksud sah, bagi menangani isu akaun keldai.

“Berkenaan jika bank akaun digunakan adalah akaun didaftarkan syarikat, berdasarkan Seksyen 11 Akta 574, perkataan ‘orang’ ditafsirkan termasuk syarikat, pertubuhan atau badan, sama ada diperbadankan atau tidak.

“Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) pula mentafsirkan perkataan ‘orang’ termasuk badan, individu, korporat atau ‘unincorporated’,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment