Pemuda konsisten bawa suara rakyat

SEPANG – Pergerakan Pemuda UMNO kekal konsisten membawa suara rakyat tanpa rasa takut, , dulu, kini dan selamanya, kata ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh.

“Meluruskan yang tempang, dan memperbaiki kepincangan,” tegasnya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Katanya, keutamaan Pemuda adalah suara rakyat  dan bukannya suara pengadu domba yang suka melihat ‘kita’  berpecah belah.

“Terima kasih Presiden Ahmad Zahid Hamidi kerana membenarkan Pemuda UMNO kini terus berjuang dan berkarya untuk membawa semangat pemuda dulu,kini dan InsyAllah selamanya,” katanya.

Semalam,  dalam satu hantaran di Facebooknya, Dr Muhamad Akmal menasihatkan semua pihak supaya jangan mempersoalkan perjuangan parti itu khususnya berkaitan Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, Pemuda UMNO tidak teragak-agak untuk bersuara bagi mempertahankan perjuangan parti berkenaan.

Menurutnya, pihaknya tidak gentar meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman.

“Kalau takut kena usik, jangan sesekali usik kami dulu. Jangan ingat kamu usik kami, kami (akan) diam membisu sahaja, orang lain mungkin tetapi bukan kami. Simple as that’ (mudah saja),” katanya.

Dr Muhamad Akmal mengulas teguran Dr Ahmad Zahid supaya mana-mana pemimpin UMNO tidak ‘mengusik’ rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya harus hormat antara satu sama lain.

Teguran terbabit susulan gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Nur Jazlan Mohamed yang mahu Pakatan Harapan (PH) memohon maaf secara terbuka kepada UMNO susulan serangan terbuka kepada parti itu sejak berdekad lalu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan berhubung gesaan memohon maaf itu sama sekali tidak mewakili pendirian UMNO.

“Itu adalah kenyataan Nur Jazlan atau Dr Akmal (Ketua Pemuda UMNO,  Dr Muhamad Akmal Saleh),” katanya.

Malah, katanya, isu berkenaan tidak berbangkit dan meminta supaya mana-mana pemimpin UMNO tidak menimbulkan sebarang provokasi berhubung perkara itu pada masa depan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment