Istiadat perkahwinan diraja 24,25,27 Okt.

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Istiadat perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah berlangsung pada 24, 25 dan 27 Oktober ini di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Pasangan putera kedua Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.

Istiadat perkahwinan diraja itu adalah yang kedua pada tahun ini selepas Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar berlangsung pada 22, 23 dan 25 Ogos lalu.

Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, hari ini, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal yang diadakan di Taman Duta di sini, semalam.

Terdahulu, baginda berdua turut berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Siraman di lokasi yang sama, semalam.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Panglima Perang; Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah; Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah; Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Ilyana.

Kelmarin, Tunku Azizah Aminah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Tengku Natasya Puteri di Taman Duta.

(Foto fb Kesultanan Pahang)

Related posts

Leave a Comment