LONDON 25 Mac – Muzium Victoria dan Albert (V&A) salah satu muzium terkemuka di dunia yang terletak di kota London menjadi tuan rumah untuk majlis berbuka puasa pada Jumaat, 24 Mac.
Program dianjurkan oleh Projek Khemah Ramadhan (Ramadan Tent Project) yang disertai lebih 400 orang.
Menurut laporan media sosial, pengasas projek tersebut Omar Salha memaklumkan tahun 2023 menandakan ulang tahun ke-10 projek itu.
Projek itu dimulakan oleh sekumpulan pelajar di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS) University London untuk berkongsi juadah berbuka puasa bersama-sama dengan penuntut antarabangsa.
Omar Salha berkata badan amal itu akan menganjurkan majlis berbuka puasa di 10 bandar raya sepanjang Ramadhan kali ini termasuk di Birmingham, Manchester dan Cambridge serta London.
Beliau berkata acara berbuka puasa di Dataran Trafalgar akan menjadi majlis iftar yang terbesar.
Acara yang sama juga akan dianjurkan di teater Globe Shakespeare, stadium kelab bola sepak Chelsea Stamford Bridge dan stadium American Express Community kelab Brighton and Hove Albion.
Terdahulu, pada 5 Mac lalu, projek itu melancarkan Festival Ramadhan 2023 di V&A yang berlangsung sehingga 1 Mei ini.
Pembukaan Pavilion Ramadan itu dihadiri Shaykh Ahmed Babikir, arkitek terkenal Shahed Saleem, WAW kreatif dari East London dan ramai lagi tetamu terkenal dari seluruh dunia.
Ia akan menjadi sebahagian daripada Festival Ramadan tahun ini, acara tahunan anjuran Projek Khemah Ramadan.
Pavilion akan berfungsi sebagai tempat untuk pelbagai acara awam dan juga buka puasa terbuka.
Omar Salha, berkata, Pavilion Ramadan bukan sahaja berfungsi sebagai struktur fizikal dan pemasangan yang memberi inspirasi kepada pengunjung yang berkaitan dengan seni dan seni bina Islam, tetapi juga sebagai ruang untuk berjuta pelawat melibatkan diri, meraikan dan belajar tentang Islam, Ramadhan, sejarah Islam, budaya dan warisan.
