Subsidi rakyat melalui pemindahan tunai

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Kerajaan sedang mempertimbang pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pemindahan tunai dalam beberapa urusan bagi mengelakkan ketirisan, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pendekatan itu bagaimanapun tidak boleh digunakan untuk semua jenis subsidi.

“Dalam kes ayam dan telur tidak perlu begitu kerana harganya sudah turun. Cadangan pemberian tunai itu sedang dipertimbangkan untuk beberapa urusan lain dan akan diumumkan kelak.

Ia memang difikirkan dalam beberapa isu lain yang lebih besar untuk mengelak ketirisan dan manfaat kepada warga asing,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung cadangan supaya subsidi diberikan terus kepada rakyat secara pemberian tunai bagi mengelak ketirisan.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, jumlah subsidi bagi ayam dan telur sejak 2022 mencecah RM3.7 bilion.

Katanya, pendekatan yang diambil ketika ini memberi keuntungan kepada 3.5 juta orang asing dan golongan kaya.

“Bukan soal anti maha kaya, bukan cukai tambahan kepada mereka tetapi maksudnya, subsidi itu tidak kepada golongan maha kaya.

“Kita bagi subsidi kepada rakyat tapi kalau pendapatan dia RM100,000 sebulan ke atas, subsidi itu tidak patut diberikan kepada dia, itu maksud saya,” katanya.

Menjawab soalan soalan asal Rasol Wahid (PN-Hulu Terengganu), Anwar juga memberitahu, tindakan kerajaan mengapungkan harga ayam dan telur adalah disebabkan harga rendah dan bekalan yang besar.

“Bila harga kurang daripada harga siling seperti sekarang dan harga ayam serta telur di Thailand lebih rendah berbanding Malaysia, ini masa dan ketika kita apungkan.

“Kalau benar ada kekurangan, kita akan cambahkan daripada stok. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempunyai 30 peratus stok dan bersedia membeli dari Thailand andai kata ada keperluan untuk mengelak harga naik,” katanya.

Rasol bertanyakan mengenai jaminan langkah mengapungkan harga ayam dan telur tidak membebankan rakyat yang berhadapan kos sara hidup tinggi.

Related posts

Leave a Comment