SEPANG 5 Okt. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Syarak negeri itu bahawa pengikut GISB Holdings (GISBH) sama ada pekerja atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat.
Mufti Pahang, Dr Asmadi Mohamed Naim, berkata, sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH juga tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa mengadakan mesyuarat khas pada Rabu, 2 Oktober lalu.
Beliau menjelaskan, golongan yang disebut sebagai menyeleweng dan sesat itu jika mereka meneruskan kepercayaan serta amalan dalam Aurad Muhammadiah dibawa oleh al-Arqam, yang diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.
Katanya , fatwa itu mencakupi golongan yang disebut mempercayai bahawa Ashaari Muhammad yang sudah meninggal dunia pada 2010 tidak mati, sebaliknya ghaib.
“Bahawa keputusan ini meliputi apa-apa versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran-ajaran terbabit di atas dan termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah atau mana-mana kumpulan yang wujud atau akan diwujudkan,” katanya.
Sehubungan itu, Asmadi mahu semua pihak berkuasa termasuk agensi berkaitan bekerjasama bagi merangka dan melaksanakan pemulihan serta pemantaun pengikut GISBH.
Katanya, kerjasama membabitkan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan pelbagai lain.
Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat, khususnya batiniah, menjadikan ia negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.