39 kes baharu, tiada kematian

PUTRAJAYA : Sebanyak 39 kes baharu Covid-19 dilaporkan pada Khamis dengan 38 daripadanya melibatkan kes jangkitan tempatan dan satu kes import, kata

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,467 kes dan tiada kematian dilaporkan sementara 74 kes telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Katanya, tiada kes kematian manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,584 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan bahawa daripada 39 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes import dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah 38 kes, di mana sebanyak 8 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” tambahnya.

Sehingga kini, seramai 19 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 8 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti satu kluster melibatkan pengawal dan anggota keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Cheras.

Menurutnya setakat ini 10 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster berkenaan, yang melibatkan sembilan warganegara Nepal dan seorang warganegara Malaysia.

“Punca jangkitan kluster ini masih di dalam siasatan. Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan dijalankan seperti mengenal pasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pekerja dan kontak rapat mereka,” kata Dr Noor Hisham.

Ekoran itu, saringan dijalankan ke atas penghuni kediaman yang sama dengan mereka yang dijangkiti, melibatkan pekerja pasar raya yang berkait rapat.

Katanya setakat ini, 436 orang telah disaring dengan 10 kes didapati positif, 347 kes negatif dan 79 masih menunggu keputusan.

Related posts

Leave a Comment