DOHA – Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia Ketiga dengan tumpuan pada ‘Diplomasi Sukan’, mengeluarkan Deklarasi Doha yang menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera dan menyeluruh di Gaza.
Pada masa yang sama sidang itu menggesa akses tanpa sekatan untuk bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh ketua negara dan kerajaan dari negara anggota Dialog Kerjasama Asia, termasuk Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyatakan kebimbangan mendalam terhadap keadaan di Gaza.
Selain menyeru gencatan senjata menyeluruh sidang itu juga menggesa pembebasan segera serta tanpa syarat semua tahanan daripada kedua-dua pihak berdasarkan persetujuan bersama.
Mereka mengulangi sokongan kuat terhadap keahlian penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menekankan kepentingan mencapai penyelesaian menyeluruh, adil, dan berkekalan bagi isu Palestin.
Deklarasi itu menekankan kepentingan kerjasama dan dialog dalam memupuk keamanan dan kestabilan dalam kalangan negara anggota Dialog Kerjasama Asia, dengan tujuan mencapai pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan, seperti yang dicerminkan dalam Visi 2030 bagi Kerjasama Asia.
Pemimpin turut menekankan kepentingan sukan belia dengan mempromosikan acara sukan belia antarabangsa merentas pelbagai disiplin.
Nnn
