PUTRAJAYA 2 Okt. – Mulai 10 Oktober ini, penggunaan MyDigital ID untuk aplikasi MyJPJ dibatalkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau juga memaklumkan susulan keputusan itu orang ramai boleh menggunakan aplikasi seperti biasa.
Kemas kini terbaharu aplikasi MyJPJ semalam memaparkan notis kepada pengguna untuk mendaftar akaun MyDigital ID sebelum 10 Oktober ini.
Selepas tarikh itu, pendaftaran MyDigital ID diperlukan untuk log masuk ke dalam aplikasi MyJPJ.
Log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID akan dikuatkuasakan bermula 10 Oktober 2024.
“Sila laksanakan pendaftaran di aplikasi MyDigital ID dengan kadar segera untuk mengelakkan sebarang kesulitan log masuk,” tulis kenyataan dalam paparan di aplikasi MyJPJ.
Terdahulu BH melaporkan ramai pengguna aplikasi MyJPJ kecewa kerana sukar mengisi butiran mereka dalam akaun MyDigital ID.
Kekecewaan yang dilahirkan menerusi hantaran di media sosial termasuk di platform X itu semakin memuncak selepas pengguna diwajibkan mempunyai akaun MyDigital ID bagi tujuan log masuk ke dalam aplikasi MyJPJ mulai 10 Oktober ini.
Pengguna X, @tangerineem1 berkata, dia sudah mencuba membuat pendaftaran akaun MyDigital ID, namun gagal melakukannya.
“Pendaftaran MyDigital ID ini menyakitkan hati betul la. Banyak kali cuba (tapi) tak dapat,” katanya dalam hantaran hari ini.
