ALOR SETAR 2 Okt. – Terkedu dan terkhilaf apabila tidak menyambut salam kedua Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.
Begitu penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang MADA (MADACorp), Abdullah Ismail, yang memohon maaf susulan tular video beliau tidak bersalaman dengan Mohamad dalam lawatan kerja menteri itu kelmarin.
Dalam kenyataannya Abdullah menjelaskan, terdahulu beliau sudah bersalam dengan Mohamad sebaik saja menteri itu tiba ke Program Sentuhan Madani di pekarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar.
“Saya ingin merujuk kepada video tular mengenai isu saya tidak bersalaman dengan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika beliau membuat lawatan kerja di Kedah pada 30 September lalu.
“Untuk makluman semua, saya telah bersalaman dengan Menteri (Mohamad) sebaik saja beliau keluar dari kereta. Kemudian saya mengiringi beliau bersalaman dengan pegawai lain,” katanya.
Abdullah berkata, ketika mengiringi Mohamad bersalaman dengan pegawai lain, menteri itu menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengannya.
Katanya, oleh kerana telah bersalam dengan Mohamad sebelum itu,, beliau menjadi terkedu dan terkhilaf apabila tidak bersalaman sekali lagi dengan menteri berkenaan.
Justeru, saya dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan saya kerana tidak menyambut salam sekali lagi Menteri dan ingin memohon maaf atas salah faham yang telah berlaku.
“Akhir sekali, saya harap penjelasan dan permohonan maaf saya diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatan saya,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan Abdullah dilihat seolah-olah enggan bersalaman dengan Mohamad yang melakukan lawatan kerja ke Kedah pada Isnin lalu.
Sementara itu Pengarah Komunikasi Amanah Kedah, Firdaus Shater, dalam satu kenyataan pula melahirkan kekesalannya terhadap tindakan Abdullah berkenaan yang dianggap sebagai tidak cermat dan tidak profesional.
Beliau menyifatkan insiden itu tidak selari dengan etika profesionalisme yang mengutamakan sikap hormat-menghormati, kerjasama dan komunikasi beradab, malah bertentangan nilai Islam yang menuntut adab terhadap pemimpin serta sesama insan.
“Sebarang tindakan memperlekeh atau tidak menghormati pemimpin, apatah lagi secara terbuka, adalah satu perbuatan tidak sesuai dengan ajaran Islam yang menganjurkan sikap hormat dan adab.
“Amanah Kedah berpandangan jika terdapat sebarang perbezaan ideologi politik, seharusnya tidak menjadi penghalang kepada kita untuk saling menghormati, terutama dalam kalangan Melayu Islam,” katanya.
Pada masa yang sama Amanah Kedah mengharapkan agar insiden seumpama itu tidak berulang lagi pada masa hadapan.
“Amanah Kedah juga ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menghentikan serangan “siber buli” terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MADA Corp. Sebagai sesama Muslim, marilah kita memaafkan sekiranya terdapat kekhilafan dan berusaha untuk bersangka baik.
Akhlak yang terpuji adalah cerminan daripada ajaran Islam, yang merupakan rahmat untuk sekelian alam. Amanah Kedah menyeru semua pihak untuk mengutamakan perpaduan dan keharmonian negara Malaysia yang kita cintai ini,” katanya.
Nnnn
