Thailand catat kes harian tertinggi

BANGKOK 14 April – Thailand hari ini merekodkan lonjakan kes harian tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara itu awal tahun lalu apabila mencatatkan 1,335 kes termasuk sembilan kes import.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 35,910 manakala jumlah kematian kekal 97 orang.

Bangkok mencatatkan 351 kes diikuti Chiang Mai 319 dan Prachuap Khiri Khan 161.

Kebanyakan kes berkait rapat dengan kluster kelab malam atau pusat hiburan.

Berikutan gelombang baharu jangkitan Covid-19 itu berkait dengan pusat hiburan di Bangkok yang kini merebak ke 72 wilayah, CCSA mengarahkan pusat hiburan di Bangkok dan 40 wilayah ditutup sekurang-kurangnya dua minggu sehingga 23 April.

Thailand juga mengambil pelbagai langkah bagi mencegah penularan kes, antaranya mengenakan syarat kemasukan seperti kuarantin 14 hari untuk pengunjung dari zon merah termasuk Bangkok, Pathum Thani dan Nonthaburi.

Sementara itu, sebanyak 34 pesakit dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih meningkat kepada 28,322 orang manakala 7,491 masih mendapatkan rawatan.

Kes import pula melibatkan tiga kes dari Malaysia, dua dari Amerika Syarikat dan masing-masing satu dari India, Bangladesh, Nepal dan Russia.

Related posts

Leave a Comment