SEPANG 24 Sept. – Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meneliti keputusan Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum memutuskan status doktrin diperjuangkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Jawatankuasa MKI mula bersidang selama tiga hari ini mulai hari ini di negeri Terengganu yang melibatkan semua mufti dan dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadut.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman, berkata, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat yang dijadualkan minggu ini selepas MKI membuat keputusan berkaitan.
“(Susulan perbincangan dalam MKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan buat keputusan dan kemudian kita akan turun ke peringkat negeri untuk bincang soal fatwa.
Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Seminar Fikrah Madani Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi: Penghayatan Manhaj Islam dan Tajdid Dalam Pemerkasaan Umat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Mohd Sukki berkata, Jabatan Mufti Pulau Pinang akan turut meneliti semua bukti yang ada sebelum mengambil tindakan daripada aspek hukum.
“Kita di Jabatan Mufti ini tak terbabit dalam penguatkuasaan, ia tugas jabatan agama bersama pihak polis. Sebaliknya kita adalah sumber rujukan agama, jadi apa-apa yang berkaitan pemahaman yang salah, maka kita akan buat keputusan.
“Jika bukti yang dijumpai adalah benar dan disahkan, barulah kita akan ambil tindakan isytiharkan sebagai ajaran sesat,” katanya.
Beliau menegaskan jika didapati amalan yang pernah dihidupkan ‘Al-Arqam’ diteruskan pengikut GISBH, maka Jabatan Mufti Pulau Pinang tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengisytiharkan ajaran itu sebagai sesat.
Di Seremban, Mufti Negeri Sembilan, Prof. Dr Mohd Faudzinaim Badarudin berkata, sebarang keputusan berhubung isu itu akan diputuskan selepas Jawatankuasa Muzakarah MKI bersidang.
Katanya, pihaknya juga mengambil kira fatwa yang diwartakan sebelum ini terhadap Aurad Muhammadiyah dan al- Arqam yang dilihat sudah memadai bagi maksud penyelewengan kumpulan itu.
“Setakat ini, Jawatankuasa Fatwa belum memutuskan perkara berkenaan (menfatwakan sebagai sesat).
Lebih-lebih lagi Negeri Sembilan mempunyai fatwa yang sudah diwartakan berkaitan Aurad Muhammadiah dan Arqam yang dilihat memadai serta mencakupi penyelewengan yang terdapat di dalam GISBH, hari ini.
“Negeri Sembilan juga juga akan memutuskan apa-apa perkara berkaitan selepas MKI bersidang nanti,” katanya.
Jelas beliau lagi, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan juga masih menunggu laporan penuh siasatan daripada Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) berserta bukti sebelum membuat keputusan mengenai kumpulan itu.
Sejak awal bulan lalu, Negeri Sembilan antara negeri yang turut terpalit dengan isu berkaitan GISBH apabila seorang wanita berusia 21 tahun yang juga pembantu penjaga taska dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH ditahan selepas dipercayai melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.
Susulan itu, PDRM melakukan serbuan di dua rumah amal dan kebajikan di Nilai serta Seremban sebelum menahan empat wanita.
Terdahulu, Perlis menjadi negeri pertama mengisytiharkan GISB sebagai kumpulan ajaran sesat. Ia diikuti reaksi beberapa mufti lain antaranya Terengganu, Kelantan dan Selangor yang sedang meneliti kemungkinan melakukan pengisytiharan
Nnn
