KUALA LUMPUR 23 Sept. – Empat beradik berusia enam hingga 11 tahun di Tapah, Perak, yang terpisah dengan bapa mereka sejak 2021, diselamatkan polis melalui Fasa 4 Op Global bermula 21 September lalu.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata hasil semakan mendapati seorang daripada kanak-kanak terbabit adalah mangsa dipercayai dirotan oleh ahli GISB Holdings (GISBH) dalam rakaman video yang tular.
Selain itu, beliau memaklumkan dalam perkembangan berasingan, seorang lagi kanak-kanak yang tular sebagai mangsa penderaan (dipijak) turut diselamatkan polis melalui operasi sama di Tapah.
“Kanak-kanak terbabit kini berada dalam jagaan pihak hospital dan ditempatkan di wad pediatrik untuk pemeriksaan lanjut.
Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, hasil pemeriksaan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati mangsa yang diselamatkan itu mengalami kesan penganiayaan
Sebelum ini, tular dua rakaman video dengan satu daripadanya berdurasi seminit sembilan saat yang menunjukkan seorang kanak-kanak sedang menahan kesakitan sambil menangis, dipercayai akibat dadanya ditindih dengan lutut.
Satu lagi rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dirotan seorang lelaki pada bahagian tapak tangan beberapa kali menyebabkan mangsa kesakitan.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuka 11 rumah perlindungan bagi menempatkan kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global.
Secara keseluruhan setakat ini, katanya, mereka menyelamatkan 572 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah melalui empat fasa Op Global bermula 11 September lalu.
Sementara itu, polis menggesa ahli GISBH yang melarikan diri susulan Op Global di seluruh negara, supaya tampil kepada pihak berkuasa agar dapat dibantu.
Razarudin berkata, ada premis didapati telah dikosongkan ketika serbuan Fasa 4 Op Global bermula 21 September lalu, dengan ahli GISBH di situ dipercayai sudah melarikan diri.
“Polis menasihati mereka untuk tampil kepada pihak berkuasa agar kerajaan dapat memberi bantuan sewajarnya dalam pelbagai bentuk, termasuk kebajikan dan sokongan psikologi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit diminta tampil membuat laporan.
“Untuk kesekian kalinya, kita meminta mereka tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk kita melengkapkan siasatan terhadap kes ini secara tuntas dan menyeluruh.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat spekulasi melalui mana-mana platform media sosial atau massa sehingga boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
Nnn
