Perlu ada ketetapan, elak murid jadi ‘tikus makmal’

PUTRAJAYA 23 Sept. – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mendapatkan pandangan menyeluruh sebelum membuat keputusan mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kementerian tidak mahu murid sekolah dijadikan ‘tikus makmal’ dalam aspek pelaksanaan semula UPSR dan PT3 seperti yang dicadangkan pelbagai pihak.

Justeru atas dasar itu, KPM perlu mendapatkan pandangan menyeluruh dan ia hendaklah dilihat dalam aspek yang lebih besar sebelum keputusan mengembalikan semula UPSR dan PT3 dimuktamadkan.

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk mendapatkan pedoman, namun setakat ini KPM kekal dengan keadaan sedia ada.

Mengulas lanjut katanya, dalam sebarang keputusan dibuat kelak, pihaknya mahu memastikan kemajuan murid tidak terjejas khususnya yang berkait rapat dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

“Kita perlu menyediakan pandangan keseluruhan dan persiapan menyiapkan padangan tetapi ia tidak boleh dilihat dalam satu aspek saja kerana anak-anak kita bukan tikus makmal yang diulang kaji mereka ini.

“Sekejap ada peperiksaan, sekejap tidak ada…kena ada ketetapan itu. Kita sudah membuat pelbagai penegasan semula untuk pentaksiran ini dan latihan guru.

Apapun keputusan di ambil, ia tidak boleh menjejaskan anak-anak khususnya yang berkait rapat dengan falsafah pendidikan kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai saranan beberapa pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid agar UPSR dan PT3 dikembalikan.

Pengerusi Mara Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga bersetuju untuk UPSR dikembalikan berikutan pemansuhan menyebabkan penurunan drastik pencapaian murid dalam Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) terutama pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M)

Dalam pada itu, pada majlis itu, Fadhlina melancarkan buku pelan lima teras stategik KPM iaitu meningkatkan akses dan kualiti pendidikan, memperkukuh pendidikan digital, menambahbaik kemudahan institusi pendidikan KPM, memperkasakan pengurusan sumber manusia dan mengislahkan sistem tatakelola.

Selain itu, Fadhlina turut melancarkan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi Peringkat KPM.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM mempunyai tumpuan lebih besar melalui Kurikulum Persekolahan 2027 dan pelan pendidikan baharu berhubung masa depan pendidikan Malaysia.

Beliau berkata, melaluinya, semua maklumat termasuk berhubung peperiksaan UPSR dan PT3 akan dimasukkan dalam sesi libat urus berkenaan.

Sementara itu, mengenai keciciran pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Fadhlina berkata, KPM bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan rakan strategik, Yayasan Hasanah untuk melaksanakan program intervensi.

Beliau berkata, program dikenali sebagai ‘Anak Kita’ itu adalah bagi menangani keciciran pembelajaran di setiap peringkat termasuk bagi membantu persediaan calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Pada peringkat SPM, program ini membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat dan lima merangkumi penganjuran kelas tambahan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik, selain meningkatkan keyakinan diri pelajar serta bimbingan hala tuju selepas peperiksaan.

Selain itu KPM juga mengatasi isu itu dengan pendekatan secara setempat (localise) dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenal pasti masalah berdasarkan demografi negeri.

KPM juga melihat komitmen ditunjukkan kerajaan negeri yang memberi kesan baik dalam aspek keputusan dan kehadiran pelajar SPM termasuk di Selangor yang melalui tuisyen rakyat, Pahang (tuisyen Tokwan) dan Perak (tuisyen Cikgu Shaarani).

Fadhlina berkata, KPM mengenal pasti tiga faktor utama menyebabkan keciciran murid dalam peperiksaan SPM iaitu berhenti sekolah, dibuang sekolah dan sudah bekerja.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment