PELANTIKAN Steven Sim Chee Keong sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang bukanlah satu kejutan walaupun sebelum ini ada desas desus mengatakan Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chow Kon Yeow.
Bagaimanapun Hui Ying masih bergandingan dengan Sim apabila adik bekas Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang Lim Guan Eng itu dikekalkan sebagai Setiausaha.
Pelantikan Pengerusi ditentukan oleh 15 Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang 2024-2027 yang memenangi pemilihan dan tidak semestinya mereka yang mempunyai jumlah undi tertinggi akan terpilih.
Dalam pemilihan semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, memperoleh 1,247 undi, diikuti oleh Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dengan 1,237 undi dan Hui Ying, di kedudukan ke-12 dengan memperoleh 827 undi.
Jika undi tertinggi menjadi ukuran sudah tentu Ramkarpal sebagai Pengerusi tetapi beliau sebaliknya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.
Begitu juga DAP di peringkat kebangsaan di mana undi tertinggi bukan jaminan seseorang itu dilantik sebagai Setiausaha Agung sebaliknya ditentukan oleh 30 orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC).
Untuk rekod, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menerima undi terbanyak dalam pemilihan CEC sebelum ini iaitu 1,782 undi diikuti Kon Yeow (1,641), Anthony Loke (1,625), Teresa Kok (1,373), Hannah Yeoh (1,346), Fong Kui Lun (1,341) dan Steven Sim (1,340) dan Guan Eng di tempat ke-8 dengan 1,311 undi.
Bagaimanapun jawatan Setiausaha Agung milik Anthony Loke manakala Guan Eng sebagai Pengerusi dan Gobind Timbalan Pengerusi.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, Sim, 42 antara nama yang menjadi sebutan sebagai calon KM tetapi DAP menamatkan spekulasi itu dengan menamakan Kon Yeow untuk penggal kedua dan terakhir.
Sama ada berlaku hubungan dingin atau tidak melibatkan bekas KM, Guan Eng dan Kon Yeow, DAP mengatasi isu itu sebelum PRN dan memberi kepercayaan kepada Kon Yeow menamatkan penggal keduanya seperti ketetapan DAP.
DAP sebelum ini menetapkan jawatan KM hanya untuk dua penggal dan menurut Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, KM hendaklah dilantik dalam kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal.
Ini bermakna tidak timbul isu Guan Eng akan kembali semula ke jawatan itu selepas PRN lalu. Begitu juga dengan Kon Yeow selepas PRN akan datang. Maka seorang muka baharu akan mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan KM kedua DAP itu. Dan muka baharu itu adalah Sim.
Pelantikan Sim sebagai Pengerusi DAP negeri secara tidak langsung membuka laluan kepadanya untuk bersiap sedia memimpin Pulau Pinang. Tradisinya, penyandang Pengerusi akan dilantik sebagai KM.
Sebagai calon KM masa depan, pemilihan Sim memang bertepatan dengan imejnya, yang mempunyai hubungan baik dengan parti dan masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Bukit Mertajam dan sekitarnya.
Sim, pemimpin yang amat disenangi dalam kalangan pengundi khususnya serta masyarakat tempatan di Pulau Pinang.
Justeru, setakat ini, Sim adalah calon paling sesuai untuk diberi tanggungjawab mengetuai kerajaan negeri kecuali sesuatu di luar jangkaan berlaku pada PRN akan datang.
Untuk rekod Sim adalah Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang pada penggal lalu selain menggalas tanggungjawab Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP sejak Mac 2022.
Di peringkat Persekutuan, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta Timbalan Menteri Kewangan II sebelum dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia selepas Pilihan Raya Umum lalu.
Nnn