BEIRUT: Pasukan pejuang Hezbollah mengesahkan komander kanannya, Ibrahim Aqil, terbunuh dalam serangan Israel pada Jumaat tetapi tidak menjelaskan secara terperinci kematiannya.
Terdahulu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa, Ibrahim adalah antara pegawai tertinggi yang terbunuh pada Jumaat dalam serangan udara ke atas bangunan kediaman di pinggir selatan Beirut.
Mereka mendakwa beberapa pemimpin kanan lain pergerakan Lubnan itu turut maut dalam serangan udara di Beirut pada Jumaat, ketika IDF berikrar meneruskan operasi sehingga dapat mengamankan kawasan sekitar sempadan Lubnan.
Letupan itu merosakkan tingkat bawah bangunan ketika Ibrahim bertemu dengan komander-komander tertinggi lain di dalamnya.
“Rangkaian tindakan dalam fasa baharu ini akan berterusan sehingga matlamat kami tercapai: kepulangan penduduk di utara ke rumah mereka dengan selamat,” kata. IDF.
Puluhan ribu orang telah dipindahkan dari kediaman mereka di kedua-dua belah sempadan Israel-Lubnan sejak Hezbollah mula melancarkan roket ke Israel, sebagai tanda solidariti dengan perjuangan penduduk Palestin di Gaza.
Israel, yang kali terakhir berperang menentang Hezbollah 18 tahun lalu berkata, angkatan pertahanannya akan menggunakan kekerasan jika perlu untuk memastikan rakyatnya pulang dengan selamat.
Tentera Israel dan sumber keselamatan di Lubnan mendakwa, Ibrahim maut bersama-sama anggota kanan unit elit Hezbollah yang lain dalam serangan udara itu sekali gus meningkatkan ketegangan mendadak konflik selama setahun antara Israel dan kumpulan pejuang yang disokong Iran itu.
Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, sekurang-kurangnya 14 orang maut dan jumlah korban dijangka meningkat ketika pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam.
Sebelum ini, tentera berkata, sekurang-kurangnya 66 orang cedera dan sembilan daripada mangsa berada dalam keadaan kritikal.
Sumber keselamatan kedua pula berkata, serangan itu dilakukan dengan pelbagai peluru berpandu yang meletup di pintu masuk garaj sebuah bangunan.
