KUALA LUMPUR 21 Sept. – Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, disahkan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan.
Seorang pegawai Hamzah membuat pengesahan itu selepas menghantar borang pencalonan bagi pihak Ahli Parlimen Larut itu di Ibu Pejabat Bersatu, pada pukul 11 pagi ini.
Hamzah, yang menyandang jawatan Setiausaha Agung bagi penggal 2020-2023, akan bertanding untuk jawatan yang kini disandang oleh Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal difahamkan akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden, memberi laluan kepada Hamzah untuk merebut jawatan Timbalan Presiden, susulan keputusan yang dibuat oleh Presiden parti Muhyiddin Yassin.
Pada 13 Julai lalu, Muhyiddin memberitahu beliau telah diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk berunding dengan barisan kepemimpinan parti bagi memastikan pemilihan pada Oktober nanti tidak mengakibatkan perpecahan dalam parti.
Menurut Muhyiddin, Mohamed Azmin Ali pula ditawarkan jawatan Setiausaha Agung Bersatu.
Difahamkan, calon lain yang turut menghantar borang pencalonan bagi pemilihan kali ini adalah Dr Radzi Jidin untuk jawatan Naib Presiden, manakala Tun Faisal Ismail Aziz dan penyandang Ketua ARMADA Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menawarkan diri bagi jawatan MPT.
Ahli Parlimen Machang itu tidak mempertahankan Ketua ARMADA selepas beliau melepasi had usia untuk terus memegang jawatan dalam sayap parti itu.
Sementara itu, Pengerusi Tetap ARMADA yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN Akmal Zahin Zainal Zahir, menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Ketua ARMADA, manakala Penolong Setiausaha ARMADA Muhammad Faiz Rahmad, pula mencalonkan diri sebagai Timbalan Ketua ARMADA.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham dalam sidang media berasingan turut mengumumkan bertanding jawatan Ketua ARMADA.
Musim pemilihan parti itu bermula dengan proses pencalonan di peringkat bahagian di seluruh negara bermula semalam manakala proses pencalonan peringkat pusat bagi jawatan MPT, pimpinan tiga sayap parti Srikandi, ARMADA, Srikandi Muda dan Bersekutu Pusat dijalankan hari ini.
Tarikh persidangan bagi peringkat Bahagian parti adalah pada 12 hingga 26 Oktober.
Nnn
