Empat premis GISBH diserbu

TANJONG 21 Sept. – Empat premis termasuk rumah jagaan disyaki berkaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di sekitar daerah Seberang Perai, dekat sini, diserbu pihak berkuasa hari ini.

Premis terbabit adalah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Bagan Buaya, Changkat Nibong Tebal; Pusat Jagaan Kanak-kanak Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang, Kubang Semang; Kedai Kek Dan Roti Ikhwan Bandar PERDA dan Ikhwan BP Mart, Bandar PERDA, Bukit Mertajam.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abd Hamid berkata hasil serbuan itu enam buku atau kitab disyaki berkaitan gerakan Al-Arqam yang diharamkan, dirampas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Kita tidak akan bertolak ansur sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau salah laku membabitkan premis atau operasi GISBH.

“Saya ingin menegaskan bahawa bagi menangani isu ini, kerajaan negeri komited dalam memastikan setiap tindakan yang diambil adalah berasaskan fakta dan bukti sahih. Kami tidak akan buat sebarang keputusan secara tergesa-gesa atau berdasarkan spekulasi,” katanya dalam kenyataan.

Selain polis dan JHEAIPP, serbuan berkenaan turut membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) , Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mohamad menasihatkan semua pihak supaya mengelak terbabit dalam penyebaran maklumat tidak tepat atau fitnah yang boleh mencetuskan kekeliruan atau ketegangan dalam masyarakat.

Katanya, isu berkenaan bukan hanya membabitkan entiti korporat, tetapi juga menyentuh aspek kepatuhan terhadap undang-undang dan prinsip moral yang kita junjung.

Nnn

Related posts

Leave a Comment