Larangan jual produk turun berat badan

SINGAPURA 18 Sept. – Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan amaran menghentikan serta merta penjualan produk makanan menurunkan berat badan dari Malaysia, Unique Good Morning Candies dan Unique Good Night Candies.

Larangan itu juga melibatkan Sausando Slimming Coffee dan Sausando Slimming Tea dari Jepun yang juga didapati mengandungi bahan terlarang seperti frusemid, phenolphthalein dan sibutramin.

“Orang ramai dinasihatkan jangan mengambil empat produk makanan yang dipasarkan untuk menurunkan berat badan ini, selepas ia didapati mengandungi bahan terlarang.

“Keempat-empat produk berkenaan dijual di platform e-dagang tempatan yang dikatakan dapat membakar lemak, menurunkan berat badan dengan berkesan, menahan selera makan, menyahtoksik, mengawal kelaparan, membantu pencernaan dan mempercepatkan metabolisme,” katanya.

SFA telah bekerjasama dengan platform e-dagang untuk mengeluarkan senarai produk berkenaan dan mengeluarkan amaran kepada penjual supaya berhenti menjual produk terbabit serta-merta.

Unique Good Morning Candies pula mengandungi sibutramin, manakala Unique Good Night Candies mengandungi sennosides.

Sibutramine adalah ubat turun berat badan yang hanya boleh diperoleh dengan preskripsi, telah diharamkan di Singapura sejak 2010 kerana risiko serangan jantung dan strok yang meningkat akibat penggunaannya.

Penggunaan frusemid yang berlebihan pula boleh menyebabkan kekurangan darah atau cecair, gangguan peredaran darah dan peningkatan kepekatan sel darah.

Sementara itu, phenolphthalein adalah bahan perangsang yang digunakan untuk melegakan simptom sembelit yang jika diambil secara berlebihan, boleh menyebabkan cirit-birit dan usus besar tidak berfungsi.

Penggunaan sennosides secara berpanjangan, yang digunakan untuk melegakan sembelit, boleh menyebabkan usus kurang berfungsi dan punca kepada dehidrasi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment